Bukan Masa Salah Menyalah, Bersama Tolak Tohmahan, Serang Tawaran Palsu Kerajaan PH


JOHOR BAHARU, 23 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pemimpin dan ahli parti di semua peringkat mesti berperanan besar untuk mengikis persepsi buruk yang ditohmah kepada UMNO oleh parti kerajaan hari ini.

Jelas beliau apa yang mereka lakukan pada satu ketika dahulu berjaya mempengaruhi rakyat sehingga mereka membentuk kerajaan hari ini.

Tambahnya lagi secara realiti selain pelbagai faktor lain, ” tawaran palsu” mereka pada waktu itu ternyata mempengaruhi kumpulan dan kelompok tertentu.

“Realitinya kalau lihat apa yang dilakukan oleh pembangkang dulu, mereka tumpukan dengan memberikan persepsi buruk kepada kerajaan dan kepimpinan serta UMNO itu sendiri. Ini mempengaruhi pelbagai kelompok dan kumpulan.

“Mereka fitnah dan mereka-reka perkara yang tidak betul dan auta. Ini sangat besar kesannya pada rakyat. Sebab itu kita berperanan besar untuk pulihkan imej buruk yang dilemparkan kepada kita. Kita juga berperanan besar untuk melihat dan memperjelaskan segala tawaran palsu yang diberikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Penerangan Isu Semasa yang disiarkan menerusi fb Live Johor Press di sini, Sabtu.

Turut menjadi Ahli Panel, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad manakala Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Dr Adham Baba selaku moderator.

Tambah Shamsul kelompok dan sasaran mana yang menjadi tumpuan juga  perlu dicerakinkan dalam usaha menyampaikan maklumat yang berkesan.

“Kita mesti memahami siapa yang berada di depan kita untuk kita sampaikan maklumat. Kita juga mesti cerakinkan latarbelakang dan sebagainya.

“Ini yang mereka lakukan dahulu hingga, fitnah, persepsi buruk dan beri tawaran palsu berjaya meyakinkan serta mempenngaruhi rakyat”, ujarnya.

Malah tegasnya tawaran yang diberikan kepada rakyat sebenarnya sangat tidak betul.

“Apa pembaharuan pakatan harapan buat kepada Johor sebagai contoh… bas Muafakat Johor tukar nama kepada bas Harapan Johor…tidak ada..apa benda baru empat bulan ini..

“Kita pergi pula ke negeri lain..kerajaan pusat begitu juga… ke mana nak bawa negara kita. Pada kita apabila menjadi kerajaan tentulah mereka mesti beri yang lebih baik daripada apa yang kerajaan dahulu buat,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau mengajak ahli parti untuk melihat apa yang berlaku hari ini sebagai ujian daripada Allah swt.

“Sebagai pendokong dan pejuang UMNO, kita kena lihat ini ujian Allah swt. Yakinlah kalau kita redha dan sedar serta perbaiki dan perbetulkan balik kesilapan kita. Allah swt akan bagi semula, yang lebih baik kepada kita.

“Untuk kembali dan lebih baik daripada sebelum ini tentunya perlu lakukan usaha yang lebih”, ujarnya.

Justeru tegas beliau sekarang bukan masanya untuk salah menyalahkan antara satu dengan lain sebaliknya semua perlu sokong menyokong antara satu dengan lain kerana semua mahu parti UMNO bangkit semula.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.