Tak Masuk Akal Peguam Didakwa Kerana Terima Bayaran Guaman

Zylan Mohamed

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Adalah tidak masuk akal selepas 61 tahun merdeka, tiba-tiba seorang peguam ditangkap dan didakwa kerana menerima yuran guaman, kata Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas terhadap peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa menerima bayaran hasil daripada aktiviti haram.

“Tan Sri Shafee adalah peguam yang mengendalikan kes-kes Barisan Nasional (BN) termasuk petisyen pilihan raya. Berdasarkan afidavit Tan Sri Shafee, bayaran yang beliau terima, kalaupun benar mencecah 9.5 juta, ianya merupakan yuran guaman bagi khidmat guaman yang disediakan oleh kakitangan dan barisan peguam firma guaman beliau.

“Sejak bila menerima yuran guaman satu kesalahan sehingga hendak didakwa di bawah Akta Pengubalan Wang Haram?” soalnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Bidasnya, berpuluh tahun perompak, pencuri, penyamun dan penjenayah membayar yuran guaman dari sumber yang haram namun pernahkah pihak SPRM menyiasat sumber kewangan yang digunakan untuk membayar yuran guaman penjenayah-penjenayah itu?

“Berapa orang yang pernah SPRM dakwa bagi membuktikan kepada rakyat ini bukan pendakwaan terpilih kerana memenuhi dendam?

“Duit itu pun belum tentu betul dari 1MDB.”

Dilaporkan sebelum ini Shafee telah mendedahkan bahawa Tun Mahathir yang mendesak Najib untuk melantik beliau sebagai pendakwa raya khas dalam perbicaraan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shafee merupakan peguam utama yang mengetuai barisan tujuh peguam bela yang mewakili Najib ketika bekas Presiden UMNO itu didakwa pada 4 Julai lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd. – MediaUMNO


2 weeks ago