MB Pahang Mahu Penguatkuasaan Terhadap Aktiviti Perjudian Dipertingkat

KUANTAN, 13 Sept – Menteri Besar mengingatkan penguatkuasa supaya tidak mudah berpuas hati dengan tindakan yang diambil dalam membanteras kegiatan yang tidak bermoral di negeri ini, sebaliknya ia perlu dipertingkat dari semasa ke semasa.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu perlu dipertingkatkan dengan kerjasama masyarakat yang bertindak sebagai pelapor sebarang aktiviti yang tidak bermoral.

“Aktiviti jenayah terutama perjudian seluruh Pahang dalam keadaan terkawal melalui penguatkuasaan dan pemantauan.Namun sekiranya penguatkuasa berasa selesa, berpuas hati dengan apa yang dijalankan, aktiviti ini tidak mustahil akan berleluasa semula,” katanya selepas menyempurnakan simbolik pelupusan mesin simulator perjudian hasil sitaan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar daerah ini.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Abd Rahim Muda, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman, Yang Dipertua MPK Datuk Fadzilla Salleh.

Jumlah pelupusan yang dibuat membabitkan sitaan mesin berkomputer sebanyak 404 mesin, 116 mesin simulator serta 10,000 keping cakera padat tanpa lesen, hasil 113 kali operasi yang dijalankan oleh MPK dan PDRM bermula awal tahun lepas hingga kini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.