Dasar Masih Kabur Selepas 100 Hari PH Ambil Alih Johor


JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Rakyat dan akar umbi masih kabur dan tidak jelas dengan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) terutamanya di negeri ini meskipun sudah tiga bulan mengambil alih tampuk pentadbiran Johor.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata janji dan tahap pelaksanaan PH terutama barisan EXCO di negeri ini masih tidak nampak impaknya kepada peringkat akar umbi.

Tambahnya, rakyat mahu melihat pelaksanaan dasar yang lebih inklusif selain dapat memberikan nilai kehidupan lebih baik terutama dari segi kos sara hidup yang kian meningkat.

“Barisan EXCO di Johor misalnya, yang masih tercari rentak untuk bekerja berikutan pengalaman yang agak cetek dan tangkap muat adalah antara sebab semua pelaksanaan dasar masih tidak nampak kesan atau impaknya.

“Dari aspek kedatangan pelabur pula, keadaan memperlihatkan para pelabur lebih takut untuk membuat pelaburan di negara ini berikutan bimbang dengan peralihan kuasa yang mungkin mencetus ketidakstabilan pada Malaysia.

“Saya juga cabar pucuk kepimpinan negeri tidak mencari negara China sebagai salah satu pelabur jika takut negeri ini ada ramai orang Cina sebagaimana dakwa mereka sebelum ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tegas Mohd Hairi lagi, peruntukan dana serta bantuan yang disalurkan selain peluang pekerjaan juga dilihat mungkin terjejas ekoran pelaksanaan dasar yang masih samar.

“Saya melihat dari banyak sudut, contohnya pengecualian bayaran lesen untuk penjaja kecil selain bantuan kursus kahwin yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini tidak menunjukkan impak yang tinggi terutama dari aspek mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

“Adakah pengecualian lesen ini boleh menurunkan harga barangan yang dijualnya? Adakah pengecualian lesen juga akan meningkatkan hasil perniagaan atau mampu untuk mengembang dan menambah nilai perniagaan mereka yang terlibat?

“Apa yang sepatutnya dilakukan kerajaan negeri adalah dasar yang memberi impak menyeluruh antaranya menyalurkan bantuan modal perniagaan kepada penjaja bagi melahirkan lebih ramai usahawan di negeri ini,” tambahnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru menambah, rakyat sememangnya membuat pilihan memilih PH, namun mereka yang kini menerajui tampuk pentadbiran perlu melaksanakan dasar dengan lebih inklusif kerana mereka masih dinilai dan diteliti oleh akar umbi.

“Rakyat masih dimomokkan dengan kenyataan yang biasa dari Pemimpin PH atau pengikut tegar PH, ungkapan hanya mengatakan baru tadbir, adakah perlu menunggu selama 60 tahun juga baru ada perubahan?” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.