Isu Sensasi Kurang Berkesan Sebagai Daya Penarik – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah trend pengundian dalam kalangan generasi muda memperlihatkan kaedah mendapatkan sokongan dengan mensensasikan isu-isu agama dan kaum semakin kurang berkesan sebagai faktor daya penarik.

Baginda bertitah pengundi lebih mengutamakan aspek tadbir urus yang baik dan defisit keyakinan berlaku kerana faktor-faktor rasuah dan salah guna kuasa.

Titah Sultan Nazrin, pengundi juga mahukan tadbir urus yang berpaksikan undang-undang dan tidak kepada karisma seseorang individu.

“Sentimen pengundi wajib dibaca secara tepat oleh kerajaan yang telah diberikan mandat memerintah. Sentimen pengundi juga wajib dijadikan panduan kepada parti-parti politik yang berusaha untuk meneruskan jangka hayatnya.

“Sentimen pengundi yang lebih menumpukan kepada tadbir urus yang baik lagi telus, dan semakin kurangnya daya pengaruh isu-isu sensasi berteraskan agama dan kaum, membuka ruang luas untuk budaya politik di negara ini dapat dibangunkan atas penyebut atau denominator yang sama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku ‘Reflections on Malaysian Unity and Other Challenges’ karya pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Dr Chandra Muzaffar di sini, hari ini.

Titah baginda bilangan rakyat yang turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 serta risiko yang diambil pengundi untuk menukar kerajaan serta peralihan kuasa yang berjalan secara aman dan harmoni memperlihatkan akar demokrasi semakin subur.

Sementara itu, mengulas tentang buku berkenaan yang turut mengetengahkan tentang bahasa kebangsaan, Sultan Nazrin bertitah Bahasa Malaysia merupakan bahasa perantaraan di negara ini yang penting serta lengkap bagi memastikan perpaduan rakyat terus wujud.

“Dr Chandra kesal apabila banyak institusi dan organisasi gagal menggunakan Bahasa Malaysia dengan meluas, justeru, ia mengakibatkan ada dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mengembangkan semangat kekitaan menerusi bahasa kebangsaan.

“Hakikatnya, malah golongan Melayu elit perlu diyakinkan bahawa Bahasa Malaysia mempunyai keupayaan untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara kita dan membawa lebih manfaat,” titah Sultan Nazrin.

Buku berharga RM42 senaskhah itu, memuatkan 11 bab artikel yang ditulis sebagai respons kepada isu dan situasi di Malaysia yang muncul pada masa tertentu.


1 week ago