Hishammuddin Beri Pandangan Selepas ‘Bulan Madu’ PH Berakhir

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan mula memberikan pandangannya terhadap isu-isu berkaitan kementerian itu dan penggantinya, Mohamad Sabu, selepas tempoh ‘bulan madu’ kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) berakhir.

Pakatan Harapan (PH), yang membentuk kerajaan baharu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei lepas menawarkan pelbagai janji melalui manifestonya termasuk 10 janji yang diikrar akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Hishammuddin, yang juga Anggota Parlimen Sembrong, berkata beliau akan memberikan pandangannya terhadap isu-isu kementerian selepas tamat tempoh 100 hari itu.

“Saya akan berikan pandangan, pertamanya mengenai kedudukan Pusat Keamanan Antarabangsa King Salman (KSCIP). Tetapi ada banyak isu lain (iaitu) mengenai aset ketenteraan, kebajikan anggota tentera serta keluarga mereka dan anggota veteran,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mohamad dalam jawapan bertulisnya kepada Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat pada Isnin mengumumkan bahawa kerajaan telah menghentikan operasi KSCIP dan pejabat sementaranya di Jalan Ampang di sini juga telah diarahkan tutup serta-merta.

Diminta mengulas prestasi Mohamad setakat ini, Hishammuddin enggan mengulas lanjut dan berkata beliau memberi masa secukupnya kepada Mohamad untuk mempelajari selok-belok kementerian.

Sementara itu, Hishammuddin berharap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diberi layanan baik sepanjang beliau menjalani proses undang-undang.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.


1 week ago