Anggota UMNO Perlu Saling Hormat Menghormati – Zahid


KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota parti itu supaya sentiasa menghormati antara satu sama lain meskipun berbeza pendapat.

Beliau berkata terdapat kaedah tertentu untuk anggota parti menyuarakan pendapat masing-masing.

“Bagi saya janganlah pijak kepala seseorang apabila tengkuk telah berada di paras pinggang, dalam keadaan itu, kita harus mempunyai kaedah tasawuf biarpun kita tidak bersetuju dalam beberapa langkah yang dilakukan seseorang,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempertikai strategi UMNO mengetengahkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Ahmad Zahid berkata kehadiran Najib adalah atas kemahuan calon bagi PRK itu, Datuk Lokman Noor Adam.

“Saya telah lakukan penyemakan dan calon sendiri yang telah mengaturkan kehadiran itu, dan tentulah calon mempunyai niat baik. Dalam keadaan itu, biarpun berbeza pandangan kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka.

“Dan dalam hal itu kalau ada kesan positif atau sebaliknya, ia adalah satu penanda aras untuk kita lakukan penambahbaikan,” katanya.


3 months ago