Jangan Momokkan UMNO, Perjuangan Islam, Bumiputera Dan Rakyat Tetap Agenda Utama

Ropikah Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Jun – UMNO bertegas dalam apa jua keadaan dan cabaran, di mana sahaja parti ini berada di seluruh pelusuk negara, tetap akan memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat jelata, kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.

Katanya, tempias Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) lalu, memberi tamparan kuat kepada UMNO termasuk di Sabah dan ada pihak tertentu cuba melaga-lagakan sentimen, UMNO sudah tidak relevan lagi di Sabah.

“Kita sudah bermuhasabah, redha dan bertabah. Pucuk pimpinan tertinggi Pusat UMNO tidak akan meminggirkan mana-mana ahli parti bertebaran tanpa sebarang hala tuju.

“Yang pasti UMNO mula disusun barisan saf, kebersamaan dan keterbukaan dalam pemilihan barisan baharu UMNO kali ini tanpa mengenepikan Islam, Melayu, Bumiputera dan kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebuah institusi sosial Melayu Bumiputera tanpa mengetepikan bangsa atau agama lain.

“Walaupun 72 tahun satu tempoh yang panjang dan setiap pemimpin datang memperkenalkan perubahan, UMNO tetap menjadikan perjuangan menaikkan taraf hidup Bumiputera dan Islam sebagai prioriti utama.

“Bukan sahaja melalui pendekatan tetapi agenda tanpa mengetepikan falsafah dan konsep awal penubuhan UMNO berlandaskan penyatuan beberapa pertubuhan Melayu ketika itu.

“UMNO harus terus relevan dan ia bergantung kepada agenda yang berakar umbi dan isu rakyat.

Sehubungan itu tegasnya,  jangan dimomokkan UMNO itu Melayu.

“Tetapi UMNO adalah perkongsian kuasa serta kebersamaaan nilai hidup dengan Bumiputera di Sabah, selain Sarawak.

“UMNO lebih daripada matlamat kebangsaan kerana kita bukan parti ‘asabiyah’. Ertinya memberikan keutamaan kebangsaan dan negara majmuk.

“Kemajmukan ini diterima oleh UMNO. Ia resipi kejayaan UMNO. Kebersamaan menterjemah kemajmukan menjadi asas kepada UMNO.”

Katanya, UMNO sebagai parti memang perjuangannya untuk Islam dan Melayu tetapi tidak mengetepikan bangsa, agama dan budaya lain seperti di Sabah.

“UMNO yang menjangkau usia 27 tahun di Sabah, menjadi faktor penyatuan kepada kepelbagaian agama, kaum dan budaya yang membolehkan negeri itu mencapai kestabilan politik dan pembangunan berterusan.

“Meskipun masih muda berbanding usia sebenar UMNO yang mencecah 72 tahun, pencapaian selama ini di negeri Bawah Bayu membuktikan kemampuan UMNO Sabah menyatukan rakyat sekali gus menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) dan kerajaan sebelum ini.

“Berbeza di Semenanjung, UMNO hanya disertai orang Melayu dan beragama Islam tetapi di Sabah parti ini terbuka kepada semua kaum Bumiputera tanpa mengira agama, malah kita ada ketua bahagian dan pemimpin dalam kalangan bukan Islam”

Terangnya lagi, keadaan ini berlaku kerana kemasukan UMNO ke Sabah pada 1991 diterima semua kaum dan hasilnya UMNO mendapat sokongan rakyat di sana. – MediaUMNO


2 months ago