Sejauh Mana Ketelusan Meminda KWAN 1988 Guna Dana Bagi Tujuan Pembelian Vaksin Covid-19 – Norliza

KUALA LUMPUR, 23 April – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terbaharu di mana kerajaan telah meluluskan satu ordinan darurat baru meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 bagi menggunakan dana dalam akaun tersebut digunakan bagi tujuan pembelian vaksin Covid-19.

“Saya bersetuju dengan keperluan segera peri mustahaknya pembelian vaksin tersebut namun ketelusan perlu ada memandangkan pindaan undang-undang ini tidak dapat diteliti oleh Parlimen yang telah digantung selepas pengisytiharaan darurat.

“Pindaan ini akan memberi kuasa sepenuhnya kepada kerajaan tanpa pengetahuan dan pemantauan sesiapa.

“Saya khuatir ketirisan dan salah guna kuasa mungkin timbul dan kesangsian rakyat terhadap kegunaan peruntukkan ini adakah ianya untuk pembelian vaksin?,”
katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Norliza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan bahawa Parlimen telah meluluskan Belanjawan 2021 dengan sejumlah RM322.5 Billion tahun lalu yang mana RM3 Billion telah diperuntukkan untuk pembelian vaksin.

Memandangkan ianya telah diperuntukkan, mengapakah kerajaan perlu meminda Akta KWAN bagi dana tersebut untuk memberi vaksin ?

“Adakah RM3 Billion hanya sebahagian daripada RM 322.5 Billion yang diluluskan oleh Parlimen tahun lepas?,” ujar Norliza dengan tegas.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar kerajaan memberi penjelasan dalam perkara ini agar amalan ketelusan dipraktikkan di dalam pentadbiran.

Beliau mengulas lanjut mengenai tindakan kerajaan mewartakan Ordinan Darurat KWAN (Pindaan) 2021 yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan PETRONAS. Menurut seksyen 5 (c) akta itu, sumbangan boleh dibuat oleh mana-mana negeri di Malaysia yang mendapat royalti daripada petroleum dan sumber alam lain yang akan habis.

Sumbangan ke dalam KWAN juga boleh datang dari mana-mana orang atau pihak berkuasa yang perniagaannya merangkumi penyelidikan atau pengembangan sumber alam yang akan habis.

Ordinan Darurat yang diwarta semalam menambah subseksyen baru ke dalam Seksyen 6 akta itu dengan membenarkan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada 31 Mac lalu, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang mana Perdana Menteri (PM), Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar (MB) diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Ini bermakna ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

Sebelum ini, sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri yang berhubungan dengan perbelanjaan yang dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri serta perbelanjaan tambahan, memerlukan suatu Akta atau Enakmen atau ketetapan
Dewan Rakyat atau Dewan Undangan negeri (DUN) bagi negeri dan pengeluaran daripada mana-mana Kumpulan Wang itu.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu berikutan pandemik COVID-19. – BACALAHMALAYSIA.MY

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.