Kembali Ke Jajaran Asal: ECRL Ilham Kerajaan BN, Pencetus Revolusi Pengangkutan Awam – MB Pahang

KUALA LUMPUR, 7 April – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diilhamkan dan dilancarkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Ogos 2017 merupakan pencetus kepada revolusi pengangkutan awam di Malaysia, ujar Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik keputusan Kementerian Pengangkutan Malaysia, yang telah mengubah semula jajaran Seksyen C ECRL ke Jajaran Asal, sepertimana yang telah dicadangkan pada 2016-2017.

“Kerajaan Negeri Pahang turut berpuashati dengan pelaksanaan cadangan jajaran asal ini kerana ia juga meninggalkan impak yang minima terhadap alam sekitar dan juga mengambil kira kesan terhadap golongan orang Asli, terutamanya di negeri Pahang Darul Makmur.

“Kita menjangkakan peningkatan signifikan terhadap aktiviti ekonomi di Negeri Pahang dengan terhubungnya kawasan Pantai Timur dan Lembah Klang melalui projek ECRL ini.

“Jelas perubahan ke pelan asal ini akan berupaya untuk membawa produk-produk yang dihasilkan oleh perusahaan di negeri ini ke negeri-negeri lain dengan lebih pantas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, jajaran asal Seksyen C, yang juga dikenali sebagai Jajaran Utara, akan membabitkan laluan ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah, yang mana akan memberikan lebih manfaat kepada rakyat Pahang berbanding pelan ECRL 2.0 sebelum ini.

“Daripada jumlah keseluruhan tujuh stesen ECRL yang dicadangkan, dua stesen akan dibina di Temerloh dan Bentong. Ini akan meningkatkan mobiliti rakyat dan juga memperkasakan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Justeru Wan Rosdy berharap apabila siapnya projek ECRL ini, anak-anak negeri Pahang akan menggunakan manfaatnya sebaik mungkin. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.