Kategori Utama

Seramai 260 Calon Secara Rasminya Bertanding di Peringkat Majlis Tertinggi Dan Sayap UMNO

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Jawatankuasa Pemilihan UMNO hari ini mengumumkan jumlah rasmi bagi pemilihan Majlis Tertinggi dan sayap setelah tamat tempoh 72 jam yang diberi untuk mana-mana calon menarik diri daripada bertanding di dalam pemilihan UMNO pada kali ini.

Menurut pengerusi  Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli, sebelum ini seramai 261 orang telah disahkan menyerahkan borang pencalonan masing-masing untuk bertanding di dalam pemilihan UMNO kali ini, termasuk untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

ajk-pemilihan-pusat-umno-2013-tajudin-rauf-tajol-megat

“Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, calon Naib Ketua Wanita, Datuk Hamidah Osman telah menarik diri. Ini bermakna jumlah terbaru secara keseluruhan yang bertanding dalam pemilihan kali ini bagi Majlis Tertinggi termasuk sayap wanita dan pemuda ialah 260 orang,” beritahu beliau kepada pemberita dalam sidang media pemilihan UMNO bertempat di Putra World Trade Center di sini hari ini.

Manakala rumusan pendaftaran calon secara keseluruhan  mengikut negeri menurut beliau  adalah seramai 33,682 orang calon dan pecahan mengikut negeri pula adalah seperti berikut;

  1. Johor                                       – 4250 Calon
  2. Kedah                                      – 2848 Calon
  3. Kelantan                                – 2595 Calon
  4. Melaka                                   – 1193 Calon
  5. Negeri Sembilan                –  1436 Calon
  6. Pahang                                   – 2628 Calon
  7. Perak                                      –  3983 Calon
  8. Perlis                                      –  638   Calon
  9. Pulau Pinang                       –  1960 Calon
  10. Sabah                                      – 4453 Calon
  11. Selangor                               – 4035 Calon
  12. Terengganu                         – 1540 Calon
  13. Wilayah Persekutuan      –  2123 Calon

Manakala jumlah calon yang menarik diri pula ialah seramai 268 orang di seluruh negara dan pecahan mengikut negeri pula adalah seperti berikut ;

  1. Johor                                     – 1 Orang
  2. Kedah                                    – 16 Orang
  3. Kelantan                               – 30 orang
  4. Melaka                                   – 17 Orang
  5. Negeri Sembilan                –  29 Orang
  6. Pahang                                  – 29 Orang
  7. Perak                                     – 35 Orang
  8. Perlis                                     – 2 Orang
  9. Pulau Pinang                      – 32 Orang
  10. Sabah                                    – 6 Orang
  11. Selangor                              – 37 Orang
  12. Terengganu                        – 15 Orang
  13. Wilayah Persekutuan     –  19 Orang

 

Sementara itu, menurut Setiausaha Kerja UMNO Malaysia (SUK), Datuk Ab Rauf Jusuh,  jumlah perwakilan UMNO yang bakal menghadiri persidangan UMNO pada tahun ini dijangkakan tidak melebihi 150,000 orang.

“Melihatkan pada proses pemilihan UMNO di peringkat cawangan pada tahun ini, sebanyak lima ribu cawangan daripada 20,080 yang gagal menjalankan mesyuarat atas pelbagai sebab. Jadi berdasarkan faktor itu, kita jangkakan perwakilan yang akan hadir pada persidangan kali ini melebihi 140,000 orang dan tidak melebihi 150,000.

“Bagaimanapun, setelah kita melakukan saringan secara rapi, maka barulah kita dapat tentukan berapa jumlah sebenar perwakilan yang bakal hadir pada persidangan kali,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, pencapaian persidangan pemilihan UMNO kali adalah lebih baik jika dibandingkan dengan pencapaian pemilihan tahun 2008.

“Pada tahun 2008, ibu pejabat UMNO telah menerima 28 ribu bantahan mesyuarat cawangan-cawangan. Tetapi pada tahun ini, ibu pejabat hanya menerima tidak lebih 300 bantahan dan bantahan melalui saluran bahagian di seluruh Malaysia pula tidak melebihi lima ribu bantahan,”

“Ini disebabkan jawatankuasa pemantau dan juga jawatankuasa pemilihan UMNO yang diketuai oleh Tan Sri Tajol Rosli dan barisan kepimpinannya telah berjaya mengawal selia mesyuarat cawangan agar mengikut tata etika dan peraturan parti,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut beliau, calon-calon yang telah disahkan untuk bertanding ini sedang disaring latar belakang untuk memastikan tiada mana-mana calon yang diisytiharkan muflis, mempunyai kes-kes mahkamah atau pun terlibat di dalam jenayah.

“Kita akan umumkan secara rasminya jika ada sebarang perubahan setelah selesai saringan terhadap lebih 30 ribu calon ini kepada pihak media sebelum tiba tarikh pemilihan pada 12hb bagi pemilihan sayap dan 19 Oktober bagi peringkat Majlis Tertinggi,” akhirinya. -MediaUMNO






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker