Pemansuhan Syarat i-Sinar Legakan Rakyat, Wanita UMNO Akan Teliti Pelaksanaan – Norshida

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Pemansuhan syarat pengeluaran i-Sinar seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semalam tentunya melegakan para pemohon yang telah membuat permohonan sebelum ini.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata pastinya desakan daripada pimpinan parti politik termasuklah daripada UMNO dan netizen seluruh negara telah memberi impak kepada hasrat mereka yang memohon pengeluaran tanpa syarat menerusi i-Sinar berkenaan.

“Wanita UMNO juga secara konsisten menyuarakan persoalan dan hasrat berkenaan kerana sedar dan tahu bagaimana mereka yang berdepan dengan masalah ekonomi untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah COVID-19 melanda negara.

“Cumanya Wanita UMNO akan melihat dan meneliti secara dekat pelaksanaan pengeluaran berkenaan selepas ini supaya pemohon yang memohon pengeluaran terbabit tidak berdepan dengan sebarang kesukaran lain kelak,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah Norshida sebetulnya pihaknya sedar dan tahu sudah pasti ianya akan memakan masa dalam melicinkan usaha berkenaan namun diharapkan ianya tidak berpanjangan supaya rakyat tidak lagi dibebani dengan masalah serta karenah birokrasi dan sebagainya.

“Kita memahami dan mendengar keluh kesah rakyat di luar sana dan terima kasih kepada kerajaan yang mendengar desakan demi desakan daripada pelbagai pihak dalam isu tersebut.

“Gunalah sebaiknya pengeluaran berkenaan dan pada masa yang sama wabak COVID-19 di luar sana masih bertebaran. Masing-masing perlu memainkan peranan tersendiri dalam memutuskan rantaian pandemik tersebut. Insya Allah,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.