Jangan Terkurang Hormat Kepada Institusi Presiden – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru seluruh pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat untuk memperkukuh kekuatan parti dan mengutamakan perpaduan.

Beliau berkata jangan sesekali membiarkan bibit perpecahan dalam parti berlaku kerana keadaan ini akan memberi peluang kepada lawan untuk meretakkan UMNO.

“Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam UMNO diadu dumba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain.

“Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang. Sama lebur sama binasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata beliau menyedari kemunculan budaya tidak sihat yang berlaku di dalam parti.

“Pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut. Ini bukan budaya dan nilai UMNO. Malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu.

“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tatasusila sebaiknya.”

Beliau juga khuatir bahawa kedudukan orang Melayu akan menjadi korban sekiranya pemimpin parti dan ahli tidak bersatu.

“Justeru untuk kesekian kalinya saya titipkan hikmah Melayu yang berbunyi antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang.

“Saya menyeru kita semua bangunkan era baru untuk UMNO dengan kesatuan dan muafakat. Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.