Kategori Berita Lain

Dapatkan Keputusan Sahih PRU-13 Daripada SPR Sahaja

KUALA LUMPUR, 30 April Р Orang ramai perlu mendapatkan keputusan muktamad pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja dan tidak bersandarkan maklumat tidak sahih yang dikeluarkan pihak lain.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekali gus mengingatkan ejen-ejen parti politik yang berada di pusat pengiraan undi, supaya tidak menyebarkan maklumat berhubung keputusan PRU13 sebelum ia diumumkan SPR, bagi mengelak kekeliruan.

“Langkah menyebarkan maklumat sedemikian bukan sahaja boleh mengganggu perjalanan pilihan raya, malah akan menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap maklumat berkenaan.

“Maklumat keputusan pilihan raya hanya akan diumumkan oleh SPR. Tunggu keputusan muktamad daripada SPR,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang dan Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak di sini Selasa.

Tegas menolak tanggapan pihak tertentu kononnya SPR lebih berpihak kepada kerajaan, Abdul Aziz berkata kalah menang calon atau parti hanya boleh ditentukan oleh pengundi sendiri dan bukannya SPR.

Beliau berkata SPR ialah sebuah badan bebas, dan pilihan rakyat tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

“Jika SPR mahu memastikan BN menang, mengapa mereka bekerja keras. Tengok Perdana Menteri, beliau bekerja keras, berapa jam sehari. Saya tak tahu. Jika mereka tahu akan menang mudah, mengapa perlu kerja keras.

“Di Malaysia, sesiapa sahaja boleh menang, calon-calon itu, bukan sebab SPR tolong atau kalau dia kalah, SPR tidak tolong. “SPR ialah badan bebas, yang menentukan menang atau kalah, raja (pada pengundian) ialah pengundi. Di Malaysia, pengundi adalah raja, tiada siapa boleh mencabar mereka”.

Beliau mengulas dakwaan bahawa SPR memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Abdul Aziz turut menafikan dakwaan bahawa SPR tidak telus dalam mengendalikan pilihan raya.

“Selaku Pengerusi SPR, SPR tidak akan menipu, tidak sama sekali, apa yang diterima dalam kertas undi itu, itulah yang akan dibawa keluar dan dibuka di hadapan ejen parti yang sama-sama akan buka sampul itu.

“Kami tidak bertindak, kami tidak mengambil kertas dari peti undi, tidak mungkin, tidak sama sekali,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan kumpulan yang cuba merancang membuat kekacauan pada hari pengundian Ahad ini supaya tidak meneruskan hasrat mereka berikutan polis telah mengenal pasti kumpulan terbabit.

Abdul Aziz yang berharap proses pilihan raya umum berjalan lancar, turut meminta rakyat, terutama penyokong parti politik, supaya tidak terlalu emosi sehingga menjejaskan keselamatan negara, sebaliknya menggunakan akal fikiran bagi memastikan negara terus aman.


Berita Bertarikh Pada 30 April 2013 7:36 PM