Kategori Utama

Soal Pemilihan Calon dan Pembahagian Kerusi Hampir Selesai -Najib

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbincangan soal pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) telah hampir selesai dan begitu juga pemilihan  calon-calon di mana sebahagian besarnya telah pun diputuskan di dalam beberapa siri perbincangan sebelum ini.

Menurut Najib, biarpun begitu namun masih ada beberapa perkara yang  memerlukan penelitian yang lebih mendalam untuk memastikan bahawa pilihan calon tersebut tepat bukan sahaja dari sudut kebolehan tetapi juga dari sudut penerimaan rakyat.

“Dalam menghadapi  PRU tidak lama lagi, semua parti komponen BN telah diberikan panduan yang jelas dan kita akan tentukan beberapa perkara  lain seperti manifesto, logistik dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan persediaan menghadapi PRU ini.

“Manakala tarikh pengumuman calon pula setakat ini kita masih belum putuskan bila, namun perbincangan serta pandangan tentang perkara tersebut telah pun ada. Namun  kita belum buat keputusan lagi bila masa yang sesuai untuk membuat pengumuman tersebut,” kata beliau kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di PWTC, Khamis semalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang sokongan rakyat terhadap BN, beliau berkata bahawa setakat ini banyak petanda bahawa sokongan rakyat kini bertambah  dan lebih positif kepada BN.

“Namun kita sedar dalam masa pilihanraya ini  ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan akhir pilihanraya nanti. Oleh itu,  kita tak mahu bersikap terlalu selesa dan terlalu yakin seolah-olah tidak ada apa  yang boleh menggugat kedudukkan kita.

“Saya berharap agar BN terus menggandakan usaha untuk memastikan semua urusan yang perlu dilakukan,  akan dilakukan dengan sebaik mungkin dan kita akan terus memberikan semangat serta keyakinan kepada jentera BN untuk memenangi PRU akan datang ini,” ujarnya.

 



Berita Bertarikh 18 January 2013 1:33 am






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker