KKM Teliti Pemakaian Pelindung Muka Dan Pelitup Muka Kain Untuk Murid – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kerajaan sedang meneliti sama ada “face shield” atau pelindung muka boleh digunakan sebagai alternatif kepada pelitup muka untuk murid sekolah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berkata perkara itu telah dibawa kepada pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli pelitup muka pakai buang.

“Face shield’ kita boleh beli sekali sahaja dan boleh dibasuh atau dibersihkan serta boleh digunakan selama empat hingga lima bulan.

“Kita juga meminta KKM mengkaji supaya pelitup muka murid-murid boleh dibuat daripada kain biasa yang boleh dijahit sendiri, boleh dibasuh dan tidak perlu ditukar setiap hari,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu, KKM juga diminta mempertimbang untuk meneliti mereka yang memakai purdah tidak perlu memakai pelitup muka lagi dan jika semua pertimbangan itu telah diluluskan, ia akan diumumkan kemudian.

Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan bagi mereka yang berada di sekolah, namun ia sangat digalakkan apatah lagi sejak kerajaan mewartakan pemakaiannya wajib mulai 1 Ogos khususnya ketika berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak.

Sementara itu, mengulas mengenai larangan rentas negeri bagi mengekang kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, Ismail Sabri berkata kerajaan belum membuat keputusan untuk melaksanakannya.

Ketika ini hanya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) dikenakan jika terdapat kes COVID-19 di sesuatu lokaliti terlibat itu, katanya. Kluster Sivagangga menjangkiti 45 individu setakat semalam dan merebak ke tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.