PRK Chini: Calon Bebas Ketandusan Isu, Bangkit Masalah Lapuk – Wan Rosdy

PEKAN, 27 Jun – “Calon lawan di PRK (Pilihan Raya Kecil) Chini ini saya rasa ketandusan idea dan ketinggalan zaman, sebab itu dia bangkitkan isu lama di sini,” tempelak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelas beliau, antara isu yang dimainkan oleh calon Bebas di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah berkaitan perumahan generasi kedua Felda yang sebenarnya telah diambil tindakan sejak dua tahun lalu.

“Dia bangkitkan isu ini seolah-olah dia tidak ambil tahu perkembangan kerajaan negeri Pahang. Saya rasa pengundi di sini pun dapat melihat dengan jelas bahawa calon Bebas ini sebenarnya tidak ada idea.

“Isu generasi kedua ini kita telah beri peruntukan RM9.5 juta untuk pemulihan dan ia lulus sejak April lagi. Kerja-kerja pemulihan akan bermula September ini.

“Projek ini terbengkalai di Rancangan Tanah kerana kontraktor gagal siapkan, Jadi, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar telah memohon peruntukan untuk menyiarkan projek Perumahan di Chini ini,” terang beliau.

Wan Rosdy turut membidas calon Bebas yang memainkan isu calon Barisan Nasional (BN) bukan anak tempatan Chini.

“Calon yang dipilih adalah diterima oleh pengundi di sini… kebetulan peneroka Felda ini datang dari banyak negeri selain Pahang.

“Calon BN dibesarkan di Felda Chini jadi tidak ada isu. Pengundi di sini kenal baik dengan calon BN,” tambah beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.