COVID-19: M’sia Belum Rancang Laksana ‘Exit Strategy’ – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 7 Mei – Malaysia belum lagi merancang untuk melaksanakan ‘exit strategy’ dalam mengawal penularan wabak COVID-19 walaupun jumlah kes positif sudah menunjukkan trend penurunan kepada dua angka setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau trend perkembangan COVID-19 termasuk kluster baharu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijadual berakhir 12 Mei ini.

“Pemantauan ini sehingga 12 Mei. Tetapi pada 8 atau 9 Mei, KKM akan lihat satu trend ketika itu bagi menasihati Perdana Menteri untuk tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata setakat ini, KKM berjaya mengawal kes kepada dua angka dan berharap dapat terus mengawal serta mengurangkan kes COVID-19 sebaik mungkin untuk tempoh seminggu lagi.

Beliau berkata pemantauan perlu dilakukan kerana wujud kluster baharu seperti kluster tapak pembinaan sebelum ini dan kluster pengawal keselamatan hari ini.

“Untuk kluster pengawal keselamatan, mereka didapati tinggal beramai-ramai sehingga 15 orang dalam satu pangsapuri. Kita cuba elakkan jangkitan dan penularan di kalangan mereka, selain siasatan sewajarnya dan mengelakkan mereka duduk beramai-ramai,” katanya.

Terdahulu, Dr. Noor Hisham berkata KKM mengesan kluster pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, yang mana terdapat 10 kes positif COVID-19 melibatkan sembilan warganegara Nepal dan seorang warganegara Malaysia setakat ini.

Sementara itu, ditanya mengenai permintaan sesetengah pihak untuk membuka semula operasi kedai gunting rambut semasa PKPB, Dr Noor Hisham menegaskan perkara itu belum lagi mendapat kebenaran KKM.

Jelasnya, ini kerana terdapat laporan di Jepun dan Amerika Syarikat berkaitan jangkitan COVID-19 di kalangan pelanggan dan penggunting rambut.

“Kita sedang pantau dengan teliti sebelum boleh memberi kebenaran kepada sektor-sektor lain seperti gunting rambut untuk beroperasi,” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.