Kategori Utama

Janji Dalam Manifesto Pun Dimungkiri, Inikan Pula Janji Mulut Pembangkang

SHAH ALAM, 23 April – Pemimpin pakatan pembangkang memang terkenal dengan janji-janji manis sehingga sanggup menjanjikan apa sahaja asalkan mendapat undi daripada Rakyat.

Perkara ini terbukti bukan sahaja sekarang ini malah sejak dahulu lagi. Bukti paling nyata adalah manifesto pakatan pembangkang Negeri Selangor pada PRU 2008 sebelum ini. Jika janji yang termaktub dalam manifesto pun boleh dimungkiri, inikan pula janji mulut manis pemimpin pakatan pembangkang yang tidak pernah jujur, demikian tegas Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed.

Jelas beliau pada Pilihanraya Umum 2008, pakatan pembangkang telah berjanji akan mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial sebanyak 10 peratus.

Perkara ini tambah belaiu lagi bukan hanya dijaja di ceramah-ceramah mereka malah dicetak sebagai salah satu manifesto janji mereka jika berjaya mentadbir Negeri Selangor dan hasil dari penipuan dan janji palsu ini, mereka berjaya memerintah negeri Selangor.

“Alhamdulillah, rakyat Selangor tidak perlukan masa yang lama untuk melihat penipuan pemimpin pakatan pembangkang satu demi satu. Pelbagai kepincangan berlaku dan pemimpin ketiga-tiga parti ini mengaku bersama dalam semua hal, hakikatnya, mereka ini seperti tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

“Seawal sebulan selepas pakatan pembangkang memerintah Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim membuat pengumuman bahawa janji untuk menurunkan cukai pintu kediaman dan cukai premis komersial tidak dapat dilaksanakan. Belum pun sampai sebulan memerintah, janji manifesto terpaksa ditarik balik. Inilah namanya pemimpin yang hanya berjanji untuk meraih undi tanpa mengira hakikat sebenar ekonomi,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini.

Sehingga sekarang jelas beliau janji pakatan untuk menurunkan cukai pintu kediaman dan premis komersial masih belum terlaksana.

“Jikapun ada nada pengumuman yang dibuat menjelang pilihanraya nanti, sedarlah rakyat Selangor, ini hanyalah janji-janji palsu untuk meraih undi rakyat Selangor semata-mata.

“Bukan sahaja cukai tidak diturunkan, malah kita juga difahamkan bahawa cukai dan premium tanah turut dinaikkan. Saya sendiri menerima banyak aduan dari rakyat Selangor berbilang kaum mengenai isu cukai dan premium tanah yang semakin meningkat. Selain itu, kami juga menerima maklumat dari rakyat Selangor bahawa cukai yang perlu dibayar sekarang ini meningkat sehingga lebih 100 peratus.

“Ramai rakyat Selangor yang tidak berpuas hati dan berasa tertipu dengan janji manifesto mereka. Soalnya, adakah kita akan sekali lagi tertipu dan mempercayai setiap apa yang dijanjikan oleh mereka? Hakikatnya, kemenangan mereka di Selangor merupakan pengajaran paling berguna kepada seluruh rakyat,” katanya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor.

Tambah beliau lagi, rakyat Selangor tanpa mengira kaum berasa tertipu akibat isu melibatkan cukai pintu kediaman dan premis komersial sehingga ada yang terpaksa disita akibat beban cukai yang terlaku tinggi.

Ketika zaman Barisan Nasional memerintah jelasnya, kerajaan BN masih lagi menerima rayuan dan memberikan diskaun untuk kes-kes tertentu.

“Apa yang dikesalkan, sehingga hari ini, pemimpin pakatan pembangkang masih lagi menaburkan janji-janji manis yang tidak mampu mereka laksanakan. Saya percaya, rakyat Selangor sememangnya lebih bijak untuk menilai janji-janji yang ditaburkan oleh pihak pakatan pembangkang selepas ini”, ujarnya.

Bagi pihak BN kata beliau BN mengakui terdapat kelemahan sebelum ini, namun kerajaan BN sedia mengakui kelemahan itu dan memohon maaf serta memperbaikinya sebaik mungkin.

“Kerajaan BN sebelum ini tidak pernah menyusahkan rakyat walaupun dituduh dengan pelbagai tomahan. Tetapi tohmahan yang dilemparkan tidak melibatkan kesusahan hidup rakyat. Namun kerajaan pakatan pembangkang secara langsung memberi bencana kepada rakyat contohnya dalam isu melibatkan pengurusan sampah dan pengurusan saliran sehingga menyebabkan berlakunya banjir.

“Pada pilihanraya umum akan datang, kita berharap agar rakyat Selangor menggunakan pertimbangan yang paling wajar untuk membuat keputusan. Cukuplah sudah lebih empat tahun (1,460 hari) kita berada dalam kesusahan. Berjanji sekadar untuk meraih undi bukanlah satu sikap yang bertanggungjawab sebagai pemimpin malah memungkiri janji isu sendiri adalah sifat munafik,” tambahnya. -MediaUMNO



Berita Bertarikh 23 April 2012 4:57 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker