Kategori Sana Sini

Perlis Terus Akan Kekal “Bumi” BN – Najib

KANGAR, 27 Jan – Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau yakin Perlis akan kekal menjadi kubu kuat Barisan Nasional jika pemimpin BN di negeri itu berjaya mengekalkan suasana yang harmoni dan perpaduan dalam kalangan mereka.

“Perlis sejak dulu lagi adalah ‘bumi’ BN dan akan kekal sebagai ‘bumi’ BN,” katanya pada Majlis Mesra Rakyat 1Malaysia di Dewan Simpang Empat di sini hari ini.

Ia diadakan sempena lawatan sehari beliau ke Perlis.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata hubungan baik dan kemesraan antara tiga pemimpin utama di Perlis iaitu Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan dua bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh juga memberi satu gambaran yang sangat baik.

“Berdasarkan suasana dan kemesraan tiga orang pemimpin ini, saya percaya tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh pertahankan Perlis,” katanya.

Najib berkata beliau sangat berbangga dengan sambutan rakyat Perlis yang hangat dan meriah terhadap lawatannya serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata orang ramai yang bertemu dengannya hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan ia menunjukkan bahawa bantuan kerajaan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijanjikan sudah sampai ke peringkat akar umbi.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan RM4 juta sebagai ganti rugi kepada petani di Perlis berikutan serangan padi angin yang merosakkan tanaman mereka.



Berita Bertarikh 27 January 2012 5:56 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker