Kategori Dari Setiausaha AgungEksklusif

Manipulasi KR1M Taktik Desperado Terbaru Pembangkang – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 14 Nov. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas pembangkang yang terus-terusan mewujudkan manipulasi dengan memburuk-burukkan usaha kerajaan untuk membela nasib rakyat tanpa melihat kepada agenda peribadi atau berbaur politik.

Katanya, apabila kerajaan melaksanakan agenda mendahulukan rakyat maka tentunya pembelaan secara langsung dibuat dengan melibatkan keseluruhan masyarakat tanpa melihat kepada agenda politik sebaliknya ia berteraskan keikhlasan dan ketulusan sebagaimana pelaksanaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Pembangkang tidak sewajarnya melakukan perbuatan sedemikian sedangkan dalam masa yang sama mereka juga mampu mendapat keuntungan hasil daripada pelaksanaan KR1M tetapi hanya kerana keangkuhan dan keegoan dan sedar bahawa pelaksanaannya akan memberi sokongan positif kepada kerajaan maka ia dimanipulasikan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama UMNO-Online.

KR1M telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keperihatinan mengenai peningkatan kos sara hidup rakyat yang berpendapatan rendah di bandar dengan berkonsepkan pasar mini dan menjual pelbagai barangan keperluan asas dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran biasa.

“Sejak dari dulu lagi memang pembangkang sering tidak rasional, melakukan putar belit atas apa saja program, dasar dan pelan yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana sebenarnya mereka tidak mampu untuk melakukan perkara yang sama apatah lagi untuk membuat perancangan lebih baik demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

“Jika benar pakatan pembangkang berkebolehan atau mempunyai kebijaksanaan maka lakukanlah dengan cara bermaruah sebagaimana kematangan seorang pemimpin dalam berpolitik tanpa perlu membuat spekulasi atau memutarbelitkan fakta yang sebenar. Persoalannya kenapa kerajaan pembangkang tidak membuat sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dilaksanakan oleh BN bagi menyaingi apa yang telah dilakukan oleh kerajaan?”

Tegasnya, tentunya pakatan pembangkang tandus idea, terdesak dan tidak mampu untuk melaksanakan apa yang terbaik sebagaimana kerajaan BN laksanakan.

“Pembangkang ini hanya pandai bercakap tetapi tak tahu nak laksanakan apa yang dah dibuat. Mereka mahu memburukkan imej BN dengan cuba menggagalkan KR1M iaitu kononnya mengadakan perbandingan harga beberapa barangan serta membuat uji kaji secara klinikal.”

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendakwa telah melakukan tinjauan harga yang kononnya menunjukkan perbezaan harga yang termasuk ada sesetengah produk di Carrefour lebih murah berbanding di KR1M.

Namun demikian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menafikan dan dakwaan Tony Pua adalah satu pembohongan serta cuba mengelirukan rakyat kerana perbandingan secara salah telah dilakukan kerana dibuat tanpa melihat kepada kualiti, berat, pembungkusan dan kandungan khasiatnya.

“Setelah pelbagai penipuan, propaganda dan manipulasi yang dibuat pembangkang, ini adalah antara yang terbaru hasil idea mereka untuk memburukkan imej BN di mata rakyat setelah pelbagai taktik desperado mereka sebelum ini gagal,” bidasnya lagi.

Ujar beliau, rakyat tentunya bijak melakukan penilaian terhadap kepimpinan pembangkang termasuklah putar belit Tony Pua malahan sebelum ini apabila akhbar luar negara mengatakan ada tetamu kehormat negara yang berbelanja jutaan ringgit dalam mesyuarat CHOGM di Australia maka pembangkang terus membuat serangan dalam pelbagai sudut walhal apabila akhbar terbabit memohon maaf tidak pula pembangkang berbuat demikian.

“Bayangkanlah jika semasa kerajaan mengumumkan untuk pembangunan Putrajaya, KLCC, MSC dan pelbagai lagi projek mega maka macam-macam manipulasi dan putar belit pembangkang untuk menggagalkannya tetapi apabila ia menjadi realiti dan menjadi antara mercu kejayaan negara hari ini maka pembangkang beria-ia pula mahu menakluknya. Sungguh memalukan.”

Tambah beliau lagi, inilah bukti pembangkang yang hanya tahu mencari keburukan orang lain, menuding jari dan menyalahkan kerajaan sedangkan diri sendiri yang ‘bergelumang tahi’ langsung tidak dibersihkan lantaran ego dan taksub dengan kuasa, politik dan kebendaan. – MediaUMNO



Berita Bertarikh 14 November 2011 7:30 am






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker