Shaiful Jawab Kenyataan ‘Berani’ Sanusi

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas kenyataan ‘berani’ daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung cadangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Ujar Shaiful, tidak ada satu pun lagi prosiding mahkamah yang terhenti, terganggu atau tertunda kerana Barisan Nasional (BN)/UMNO berkuasa selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Jadi adalah sangat spekulatif untuk membuat andaian bahawa mahkamah boleh sewenang-wenang diarah, diganggu dan disepak terajang untuk memastikan mana-mana pemimpin BN terlepas dari keadilan.

“Malah, pandangan sebegitu sangat menghina dan merendah-rendahkan kebebasan, ketelusan serta kebijaksanaan institusi kehakiman negara. Seolah-olah mahkamah kita ini terlalu kerdil, takut dan tidak berpendirian,” tegasnya dalam satu catatan di Facebook.

Shaiful memberi reaksi demikian terhadap kenyataan Sanusi yang mendakwa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan perbicaraan kes di mahkamah bertegas mahu mengadakan PRU lebih awal kerana takut dipenjarakan.

Jelas Shaiful lagi, daripada perspektif ekonomi kemerosotan aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebahagian besarnya bukan sahaja disumbangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal dan tidak proaktif.

“Tetapi juga kebimbangan para pelabur terhadap iklim politik negara yang tidak stabil dan penuh dengan ketidaktentuan. Kebanyakan pelabur besar mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana kerajaan boleh tumbang atau dirombak atau ditukar pada bila-bila masa sahaja.

“Keadaan ini mewajarkan PRU segera kerana hanya dengan PRU baharu satu ‘certainty’ dan kestabilan dapat dicapai. Semakin lama aliran masuk (dan keluar) FDI tidak diuruskan, semakin banyak kesan domino dan masalah yang akan muncul seperti pengangguran, ketidakcukupan bekalan serta inflasi,” katanya.

Seterusnya ulas Shaiful, hakikat yang sering dilupakan ialah Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan yang diangkat oleh rakyat.

“Ia hanyalah produk kerjasama politik antara ahli-ahli Parlimen. Kita mesti memulangkan mandat pada rakyat. Itu yang terbaik dan paling menyantuni prinsip demokrasi.

“Kerana, dalam perihal memulangkan mandat pada rakyat untuk memilih kerajaan, tiada istilah ‘cepat’ atau ‘awal,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.