Debat Perdana: Wacana Untuk Rakyat Nilai Siapa Mampu Melonjak Ekonomi Dan Kestabilan Negara – Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap debat wacana intelektual adalah budaya yang mampu mematangkan demokrasi dalam negara.

Jelasnya, cadangan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) melalui debat yang dibuat mampu melonjakkan hala tuju negara.

“Saya menganggap ianya merupakan satu wacana intelektual walaupun tidak ada cadangan yang konkrit yang dijadikan kesimpulan tetapi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak terhadap isu Sapura Energy itu jelas lebih nyata.

“… dan tentunya yang lebih penting apakah hala tuju negara yang mahu dilakukan. Ini cukup jelas bahawa kestabilan politik adalah punca kepada pembangunan negara dari segi perkembangan ekonomi dan juga kemakmuran rakyat.

“Saya fikir ia dapat terjemahkan demokrasi dan lebih ramai tokoh-tokoh… sesiapa pun sama ada di peringkat kerajaan atau pihak sebelah sana (pembangkang) harus diberikan peluang untuk melontarkan pandangan biarpun berbeza tetapi kita harus meraikan, biar rakyat menilai dan memilih manakah pemimpin yang terbaik jika mereka itu dicalonkan,” katanya kepada media di Dewan Tun Hussein Onn, WTC, malam tadi.

KUALA LUMPUR 12 Mei — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada tayangan ‘big screen’ Debat Perdana antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Tun Hussein Onn WTCKL malam ini. Turut bersama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto – MediaUMNO

 Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) melahirkan kesyukuran terhadap penganjur yang bertungkus lumus dalam menjayakan acara debat ini.

“Tentunya perdebatan ini harus diteruskan dan terima kasih kepada pihak penganjur terutamanya Sinar Harian.

“Saya yakin diakhir penghujung sesi ini ianya akan dapat mengubah minda rakyat siapa yang lebih berpijak di bumi yang nyata.

“Debat Perdana yang julung kali menampilkan dua figura besar dalam arena politik tanah air, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara,” katanya.

Katanya lagi, program debat secara terbuka yang julung kali diadakan seumpama ini mampu memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan pandangan dalam suasana yang aman dan harmoni.

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib Razak dan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran bailout (menyelamatkan) Sapura Energy. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.