Perhimpunan Agung Khas UMNO Proses Pindaaan Perlembagaan, Kukuhkan Lagi Parti – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Ahad ini adalah untuk meminda perlembagaan parti selaras dengan apa yang terkandung di dalam perkara yang telah diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata salah satu daripada lapan perkara atau usul yang diluluskan adalah berkaitan soal pemilihan parti dalam usaha memperkasakan lagi UMNO untuk berdepan dengan segala cabaran yang mendatang.

“Perhimpunan Agung UMNO 2021 ada lapan perkara yang diluluskan dan satu daripada lapan itu ialah menggesa pindaan perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali pilihan raya umum persekutuan. Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi pilihan raya umum tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan.

“Kita ada 22,000 cawangan di seluruh Malaysia yang di dalamnya ada pemilihan pelbagai peringkat. Begitu jugalah peringkat atasan hingga ke akar umbi bergelumang dengan pemilihan. Orang sebelah sana memang mahukan UMNO hancur sebelum pilihan raya. Takkan kita nak ikut cakap mereka. Jadi kita perlu ada pelan A dan pelan B supaya parti kita kukuh apabila berdepan pilihan raya dan inilah kenapa kita lakukan pindaan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara sempena ulang tahun UMNO ke-76 yang disiarkan menerusi Facebook Live UMNO-Online malam tadi. Program tersebut dihoskan Datuk Dr Nor Azizan Abdul Majid.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah soal perpecahan ketika musim pemilihan turut melangkaui pelbagai parti politik yang lain termasuklah PKR serta Pas yang akhirnya tertubuh parti lain iaitu Parti Amanah Negara (PAN).

“Kita cakap terus teranglah… orang di luar sana pun dah mendengar politik UMNO ini 76 tahun tetapi jangan kata UMNO sahaja berpecah ketika ada pemilihan. PKR juga berpecah ketika ada pemilihan sehingga Azmin (Datuk Seri Azmin Ali) bersama kumpulannya keluar. Pas juga berpecah ketika pemilihan sehingga tertubuhnya PAN. Jadi jangan tuduh kita sahaja berpecah malahan PPBM pun sama berpecah juga. Kita melihat di luar sana berlaku dan kita ingin menjaga parti sebab itu kita adakan pindaan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menjawab berkaitan lanjutan 18 bulan pemilihan parti yang dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekaligus tidak wujud istilah ‘caretaker’ terhadap pemegang jawatan di dalam UMNO.

“Perlembagaan UMNO membenarkan lanjutan selama 18 bulan dan kita telah dibenarkan oleh RoS. Ertinya dengan lanjutan ini tidak ada seorang pun yang berjawatan itu adalah ‘caretaker’ dan mereka adalah pegang jawatan sepenuhnya. Sebab kita melaksanakan apa yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Jadi sepanjang 18 bulan ini tidak ada seorang pun ‘caretaker’ dan mereka adalah penjawat jawatan yang sah.

“Saya dah rujuk kepada peguam-peguam dan bukannya seorang… dan yang menjaga pindaan ini pun Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pun peguam. Jadi ini yang berlaku dan kemudiannya tidak ada di dalam perlembagaan UMNO yang tidak membolehkan pindaan perlembagaan dibuat ketika lanjutan masa 18 bulan itu. Jadi apahal kita tidak boleh bergerak dan kita boleh buat aktiviti termasuklah memasuki pilihan raya mewakili parti walaupun bukan lambang kita tetapi daripada UMNO dan kenapa pula tidak boleh diadakan EGM.

“Cumanya RoS ada klausa-klausa tertentu dan memanglah kita kemudiannya akan menulis kepada RoS untuk tindakan selanjutnya. Antara proses yang perlu dibuat sebelum mana-mana pindaan adalah perlu dibuat EGM… sebelum EGM pun saya dah maklumkan kepada RoS bahawa kita nak buat EGM dan kita tunjukkan segala pekeliling dan sebagainya.

“Apabila kita laksanakannya kita maklumkan segala proses telah dilaksanakan dan RoS boleh memberikan komen dan ulasan. Saya tidak nampak kenapa mereka tidak boleh meluluskan sebab pindaan yang lebih kurang sama telah dibuat oleh MCA,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.