Hidupkan Semula Suruhanjaya Pendidikan Negara, Bebas Perubahan Iklim Politik

KUALA LUMPUR, 27 Mac – UMNO Bahagian Johor Bahru berpandangan Suruhanjaya Pendidikan Negara perlu ditubuhkan semula bagi menjamin sektor pendidikan bebas daripada perubahan iklim politik.

Biro Pendidikannya, Faiz Banafe berkata suruhanjaya ini perlu dianggotai pakar-pakar bidang dan pakar psikologi pendidikan.

“Idea suruhanjaya ini telah dibentang oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) lima tahun lalu. Pembentukannya penting bagi menjamin pendidikan negara bebas daripada perubahan politik.

“Membolehkan ia fokus seratus peratus kepada dasar, halatuju serta proses pendidikan negara… tiada ahli politik terlibat dalam suruhanjaya tersebut. Pendidikan adalah penentu masa depan negara jadi jangan ambil mudah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, ini kerana melihat kepada ketidaktentuan politik kebelakangan ini malah dengan pertukaran menteri-menteri pendidikan memberi kesan kepada polisi pendidikan negara.

“Tiada konsistensi dan kelangsungan dalam pelaksanaan dasar pendidikan. Tiada fokus menyeluruh. Kelemahan ini lebih jelas kelihatan sejak dua menteri pendidikan yang lalu.

“Bukanlah warna kasut yang membentuk keperibadian pelajar. Sikap berdiam tanpa memperjelas perancangan mengatasi kehilangan dua tahun pembelajaran dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan juga tidak membantu.

“Keberkesanan sistem pendidikan negara tidak seharusnya bergantung kepada satu individu yang mungkin punya agenda peribadi. Sebaliknya ia perlu dikendali oleh akal-akal terpaling bijak negara,” tegas beliau.

Tambah Faiz lagi, generasi muda merupakan aset bagi masa hadapan negara yang lebih baik maka tiada ruang untuk kerajaan membuat kesilapan yang sudah tentu akan menjejaskan golongan ini.

“Kegagalan membentuk insaniah terbaik dikalangan mereka akan menandakan masa depan yang amat gelap untuk Malaysia. Kegagalan kita memperbetulkan keadaan ini bakal mengundang kegagalan mereka dalam memartabatkan Malaysia sebagai negara berdaya saing di masa hadapan.

“Lihat saja mana-mana negara maju dan berdaya saing. Jika dikaji dengan teliti, kita akan lihat betapa bezanya sistem pendidikan negara-negara tersebut dibandingkan dengan kita.

“Setiap helai benang yang mencorakkan hamparan masa depan negara bermula dengan lembaran pendidikan. Suka tidak suka, negara kita belum mencapai tahap yang boleh kita banggakan dari aspek pembangunan ilmiah, sahsiah dan juga modal insan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.