Elak Tragedi ‘ADUN Lompat’, Melaka Perlu Pilih Kestabilan – Leong Hui Ying

KOTA MELAKA, 17 Nov – Kestabilan politik merupakan perkara utama kepada pembangunan negeri, kata calon Barisan Nasional (BN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying.

Katanya, rakyat perlu membuat pilihan dengan mengundi BN bagi mengelakkan tragedi pertukaran kerajaan dan lompat parti berlaku dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berulang kembali.

“Bagi saya sesebuah negeri itu sekiranya mahu dibangunkan semestinya kestabilan politik kerana jika tidak akan berlaku seperti yang kita lihat sebelum ini lompat-melompat dalam kalangan ADUN.

“Jadi bagaimana kita hendak membuat kerja… jadi saya harapkan melalui PRN ini rakyat membuat pilihan terbaik untuk kestabilan negeri bagi pembangunan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Jelas Timbalan Ketua Biro Penerangan Wanita MCA Kebangsaan itu lagi, manifesto yang bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ merupakan suatu pilihan yang tepat bagi menggambarkan kecelaruan yang dihadapi rakyat selama 22 bulan.

“Kita perasan bagaimana keadaan negeri ini jadi kita ambil manifesto yang bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ untuk mendekati rakyat,” ujar beliau.

Sementara, beliau juga mengambil langkah positif dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Seperti diketahui kita tidak boleh berkempen seperti dahulu saya juga risau kerana khuatir risikokan orang lain.

“Jadi saya fokuskan menerusi sosial media seperti Facebook, Twitter, Instagram dengan berkongsi manifesto saya untuk kepada mereka khususnya di kawasan ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.