Masalah Penjaja, Banjir Antara Fokus Rais Di Paya Rumput  

TANGGA BATU, 12 Nov – “Insya-Allah jika saya diberikan peluang oleh pengundi pada 20 November nanti, perkara utama yang akan saya perjuangkan adalah soal banjir serta soal ‘perut rakyat’,” demikian kata-kata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput,  Datuk Rais Yasin.

Tambah beliau soal banjir yang sering melanda beberapa kawasan seperti di Cheng, Krubong, Tanjung Minyak dan beberapa kawasan yang lain telah menyebabkan penduduk sering berdepan dengan senario yang cukup sukar apabila dilanda musibah berkenaan.

“Perkara pertama yang akan diperjuangkan adalah isu banjir. Ini bukanlah isu lama…dulu tempat kami ini bukanlah banjir dan 10 tahun yang lalu banjir teruk tidak ada. Di Cheng, peringkat awal sekitar CIMB Bank ianya tidak dilanda banjir mungkin kerana faktor pembangunan dan sebagainya, isu perparitan…sekarang isu banjir telah melarat dan menjadi lebih teruk.

“Dalam dua tiga tahun kebelakangan ini hujan lebat dua jam sahaja di Kg Krubong habis…banjir. Jadi saya rasa ini isu utama yang mesti diselesaikan dengan segera siapa pun wakil rakyat yang dipilih isu banjir ini mesti diberikan tumpuan sebab ianya melibatkan banyak tempat. Krubong, Tanjung Minyak, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Soal ‘perut rakyat’ pula, Rais yang juga anak tempatan berkata terdapat begitu ramai penjaja dan peniaga kecil di kawasan tersebut yang memerlukan perhatian yang sewajarnya supaya mereka dapat melipatgandakan ekonomi keluarga masing-masing.

“Kedua adalah perut rakyat..di sini ramai penjaja kecil dan mereka ini mesti dibantu dan diselaraskan…faham sahajalah kita baru sahaja selesai PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi ada yang baru memulakan perniagaan balik. Saya banyak menyantuni mereka ini bukan sahaja masa PRN (Pilihan Raya Negeri) ini tetapi sebelum-sebelum daripada ini lagi.

“Kita telah bergerak membantu jadi saya faham keadaan mereka. Keadaan ini tentunya memerlukan saya berada di dalam struktur barulah saya dapat bergerak dengan lebih untuk membantu golongan-golongan seumpama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu Rais turut mempunyai perancangan untuk mewujudkan ‘uptown’ di perkarangan Stadium Hang Jebat dalam usaha membantu golongan belia atau mereka yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Katanya dengan wujud pusat perniagaan seumpama itu insya-Allah penjaja dan para peniaga dapat melebarkan lagi tahap ekonomi keluarga masing-masing.

“Kalau kita cerita golongan belia yang berniaga yang hari ini menjadi usahawan penjaja kecil dan sebagainya, mereka ini perlu diberikan perhatian. Malah ramai juga yang hilang pekerjaan di musim pandemik ini. Sebab itu antara perancangan saya adalah saya ingin mewujudkan ‘Uptown’…ini dapat memberikan peluang kepada belia-belia untuk berniaga.

“Saya ingin mengusulkan di Stadium Hang Jebat…dahulunya stadium ini terletak di bawah Perbadanan Stadium namun sekarang telah diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan. Jadi saya rasa rasa majlis boleh bantu untuk naikkan di situ. Jadi selaraskan peniaga-peniaga kecil ini kita buat satu tempat  atau satu pusat yang boleh orang-orang muda berniaga, ‘food truck’, penjaja dan pelbagai lagi. Jadi kemudahan ini kalau ada boleh diselaraskan sekaligus membuka peluang pekerjaan kelak,” tambahnya.

Pengundi di seluruh Melaka akan membuat pilihan masing-masing pada 20 November nanti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan yang melibatkan 28 kerusi DUN.  – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.