COVID: Kerajaan Sedang Perkemas SOP, Daripada 181 Kepada 10 Sahaja – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Kerajaan sedang berusaha memperkemas prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 sedia ada supaya lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kerajaan bermatlamat mengurangkannya kepada 10 SOP sahaja.

“Langkah memperkemas SOP yang telah diguna pakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik,” katanya dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19.

Turut serta dalam sidang media di bangunan Parlimen itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Hishammuddin berkata bagi menentukan bagaimana SOP sedia ada dapat diperkemaskan, kerajaan bukan hanya mengambil kira data sains khususnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri.

“Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke masa, kita mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk menyelesaikannya,” katanya.

Hishammuddin berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah bersetuju untuk membenarkan beberapa kelonggaran baharu yang dinilai berada pada tahap risiko rendah.

Beliau berkata dalam menetapkan kelonggaran tersebut, kerajaan mengambil kira tekanan, kepenatan dan kelesuan rakyat selepas lebih setahun berada dalam situasi pandemik yang membataskan aktiviti dan pergerakan.

“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana berisiko membawa kepada kesan yang lebih serius terutama menjejaskan kesihatan mental.

“Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi dalam masa terdekat nanti,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.