Tindakan UMNO Tidak Setuju Pelaksanaan Darurat Adalah Tepat – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor menyifatkan tindakan UMNO yang tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan darurat sebelum ini adalah tepat.

Katanya ini kerana darurat yang dibuat telah gagal dimanfaatkan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat malah telah membuatkan ekonomi merudum sehingga memberi kesan kepada pelabur asing.

“Kerajaan perlu memberi penjelasan secara terperinci dan tepat bagi memberikan kefahaman kepada semua rakyat tentang pembatalan Ordinan Darurat ini,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelas beliau lagi ada juga dakwaan daripada sesetengah pihak bahawa pembatalan Ordinan Darurat ini masih lagi belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Sekiranya terbukti pembatalan Ordinan Darurat ini belum mendapat perkenan YDPA, kami dengan ini mendesak agar menteri bertanggungjawab untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan dikenakan hukuman yang tegas dan setimpal kerana mengelirukan Dewan Rakyat.

“Kerajaan tidak boleh memperlakukan YDPA sedemikian rupa. Setiap butiran pembatalan Ordinan Darurat ini semestinya perlu dipersembahkan dan mendapat perkenan YDPA.

“YDPA bukan seperti rubber stamp yang akan menurut segala kemahuan kerajaan sekiranya ianya melibatkan kepentingan rakyat,” tegas beliau.

Noor Hariri turut sependapat dengan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa ternyata darurat adalah dasar kerajaan yang gagal dan sia-sia.

“Kegagalan yang paling nyata sekali adalah kes semakin meningkat dalam tempoh darurat dilaksanakan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.