UMNO Sabah Utamakan Kesejahteraan Rakyat, Tidak Main Politik – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain bersetuju dengan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A.Gani Pg Amir yang tidak lagi menaruh kepercayaan kepada Warisan kerana parti itu hanya tahu mempolitikkan setiap isu tanpa memikirkan kepentingan rakyat Sabah.

Ulasnya, sepanjang pemerintahan Warisan di Sabah, rakyat semakin sengsara kerana tiada hala tuju dan sebarang perancangan walaupun mereka sebelum ini adalah kerajaan negeri.

“Tidak wujud sebarang pembangunan sepertimana zaman Barisan Nasional (BN). Yang sengsara adalah rakyat. Sebagai wakil rakyat mereka inginkan yang terbaik untuk rakyat.

“Kekecewaan Adun Sebatik terutama sekali yang melibatkan kepentingan rakyat tidak diutamakan oleh Warisan apabila tidak menyokong bajet 2021, tindakan kepimpinan masih menggugat kestabilan kerajaan, membelakangkan ahli Adun dan akar umbi. Itulah yang mengelirukannya tatkala ekonomi terjejas teruk dan Warisan masih lagi bermain politik.

“Saya fikir sentimen ini akan berkongsi dengan wakil-wakil rakyat yang lain dengan melihat keberanian Adun Sebatik. Saya menjangkakan akan berlaku sedikit masa lagi,” katanya kepada UMNO Online hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu berkata kepimpinan Pengerusi UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil pendekatan secara terbuka dan tidak bermain politik khususnya dalam hal-hal membabitkan kepentingan rakyat. 

“UMNO/BN memikirkan rakyat dan kita akan terima sesiapa saja yang hendak kembali pada UMNO, sebab percaya kekuatan UMNO Sabah ini terutamanya terletak kepada akar umbi dan pemimpinnya,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, UMNO tidak suka bermain politik, sebaliknya melihat kepentingan yang besar berbanding yang kecil dan inilah yang direalitikan oleh Bung Moktar apabila melihat rakyat didahulukan.

“Saya percaya kalau Adun Sebatik mahu kembali dan menyertai UMNO, kita terima untuk memperkuatkan parti dan sekaligus dapat berkhidmat untuk rakyat dan itu yang lebih utama,” ujarnya lagi – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.