MKT Setuju Usul Ke Perhimpunan Agung UMNO: Perkukuh Muafakat Nasional, Putuskan Hubungan PPBM

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat telah memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 Bahagian-bahagian UMNO yang telah bersidang di seluruh Malaysia.

Katanya, antara usul-usul utama yang dibangkitkan oleh majoriti besar UMNO Bahagian-bahagian ialah mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.

“Memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan COVID-19,” katanya dalam kenyataan media selepas mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, malam tadi.

Ujarnya, mesyuarat bersetuju untuk membawa usul-usul ini ke Perhimpunan Agung UMNO pada 31hb Januari 2021 ini bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan tersebut.

Ini adalah berasaskan usul-usul utama yang dibangkitkan oleh Bahagian-bahagian; dan atas faktor-faktor berikut:

• bahawa usul-usul ini menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa hadapan parti dan negara;

• Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 31 Januari 2021;

• Peruntukan Perlembagaan UMNO dimana usul-usul Bahagian akan diangkat ke Perhimpunan Agung.

Terdahulu, UMNO telah selesai melaksanakan mesyuarat peringkat Bahagian yang bersidang dalam norma baharu iaitu dilaksanakan secara maya dengan kehadiran terhad pada tarikh 1-3 Jan di seluruh negara. Hal tersebut dibuat ekoran penularan pandemik COVID-19 dan mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang telah ditetapkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.