Mesyuarat UMNO Bahagian: Beri Usul-usul Yang Baik Kepada Parti, Kerajaan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pada 1, 2 dan 3 Januari 2021 (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan selamat bersidang dan berharap agar perwakilan akan memberikan usul-usul yang baik kepada parti dan kerajaan.

“Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian empat peringkat iaitu Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 1, 2, 3 Januari 2021 boleh diadakan secara maya di kawasan PKPD, PKPB dan zon merah.

“Korum mesti minima ¼ daripada yang layak hadir. Mesti dicatat kehadiran. Diucap selamat bersidang dan beri usul-usul yang baik kepada parti dan kerajaan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya, hari ini.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, kaedah mesyuarat perwakilan Bahagian UMNO secara maya itu boleh guna aplikasi seperti zoom, Webex, GoogleMeet dan lain-lain.

“Kepada yang bermesyuarat secara bersemuka, pastikan SOP tangani COVID-19 dipatuhi seperti pakai mask, periksa suhu, penjarakan dan separuh kapasiti dewan (contoh jika 300 penuh, boleh hanya 150),” terangnya lagi.

Dilaporkan, Mesyuarat Bahagian UMNO yang telah tertangguh ekoran penularan COVID-19 diputuskan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad).

Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.