Gantung ‘Banner’ Hasutan Tindakan ‘No Class’, Tiada Maruah, Bidas Pemuda UMNO Selangor

SHAH ALAM, 23 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor menyifatkan tindakan menggantung kain rentang berbaur hasutan yang berlaku di sekitar Shah Alam sebagai tindakan picisan yang sangat memalukan dan boleh klasifikasikan sebagai tindakan yang ‘no class’ atau tiada maruah.

Ketuanya, Rizam Ismail juga berpesan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang bertanggungjawab untuk jangan sesekali cuba melaga-lagakan serta ingin memporak-perandakan ahli-ahli UMNO yang sedang bertungkus-lumus berjuang untuk rakyat.

“Tindakan menggantung kain rentang yang berbaur hasutan ini adalah satu tindakan yang sengaja dilakukan oleh pihak musuh politik dalam mengganggu-gugat keharmonian dan juga cubaan melaga-lagakan ahli-ahli UMNO.

“Saya telah dimaklumkan juga bahawa semua kain rentang yang digantung ini telah diturunkan oleh ahli-ahli Pemuda Bahagian Shah Alam serta laporan polis akan dilakukan juga pada hari yang sama,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rizam berkata demikian merujuk kepada isu kain rentang yang digantung sekitar Shah Alam yang bertajuk “Minta Presiden Undur dari Jawatan Beliau Sebagai Presiden UMNO”.

“Saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia menafikan sekeras-kerasnya penglibatan daripada Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam atau mana-mana Pemuda UMNO Bahagian di Selangor.

“Sekali lagi kami dari Pergerakan Pemuda UMNO Selangor ingin menegaskan bahawa kami menyokong penuh institusi Presiden UMNO yang diterajui oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta tiada soal menolak atau meminta Presiden untuk mengundurkan jawatan beliau sebagai Presiden UMNO yang sah di sisi perlembagaan parti,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.