LCS: Mindef Kemuka Tuntutan LAD RM180 Juta Kepada Boustead Naval Shipyard

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Kementerian Pertahanan telah mengemukakan notis Tuntutan Liquidated and Ascertained Damages (LAD) berjumlah RM180 juta kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) berikutan kelewatan pembekalan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata notis itu dikeluarkan selepas kementerian menjalankan siasatan terhadap BNS berhubung isu tersebut.

“Pihak kementerian telah melaksanakan siasatan melalui semakan ke atas klausa kontrak berkaitan isu kelewatan yang dialami dalam perolehan LCS ini.

“… susulan itu, notis tuntutan telah dikeluarkan berjumlah RM180 juta, dan daripada jumlah itu sebanyak RM80.6 juta berjaya dipungut pada Oktober 2020,’’ katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Pada 2014, kerajaan menganugerahkan kontrak pembinaan enam LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9.128 bilion kepada BNS, dan daripada jumlah itu sebanyak RM6 bilion telah dibayar kepada syarikat berkenaan.

Hingga kini BNS gagal menyerahkan LCS tersebut sekalipun perjanjian yang dimeterai pada Januari 2014 memperuntukkan LCS pertama diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Berkenaan pemilikan rumah untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ismail Sabri berkata sebanyak 3,500 unit rumah akan dibina untuk anggota ATM dalam masa terdekat menerusi program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sungai Besi di sini.

Daripada jumlah itu, 900 unit akan diperuntukkan kepada veteran ATM, katanya.

‘’Program ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan, negeri dan pihak swasta. Program ini juga memberi galakan kepada anggota dan veteran ATM untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang rendah berbanding harga pasaran semasa,’’ katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.