Rakyat Resah… Segerakan Penubuhan Kabinet, Utamakan Urusan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 16 Mei – UMNO mengalu-alukan penubuhan Kabinet secepat mungkin agar negara boleh terus bergerak seperti biasa lantaran rakyat di seluruh negara resah dan gelisah kerana walaupun sudah seminggu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) selesai, namun tidak nampak bayangan jelas pembentukannya.

Bagi Datuk Abdul Rahman Dahlan selaku Ahli Unit Komunikasi Ibu Pejabat UMNO menekankan bahawa setakat ini banyak pengumuman dasar dan halatuju kerajaan diumumkan oleh mereka yang bukan menteri dan ini bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan.

“Malah ini juga akan mengundang masalah kerana mereka yang mengumumkan dasar tidak ada legitimasi untuk berbuat demikian,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, menjadi harapan agar penubuhan Kabinet berjalan dengan teratur demi kesejahteraan rakyat dan negara kerana urusan mentadbir negara perlu didahulukan daripada pertimbangan lain.

“Dalam masa yang sama, UMNO mahu proses pelantikan Menteri Kabinet mengikut proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan menghormati kedaulatan Majlis Raja-Raja.

“Perlantikan ahli Kabinet yang tidak teratur atau dibuat ala koboi akan mengakibatkan negara kita hilang integriti dan tidak dihormati.”

Umpamanya jelas beliau, pengumuman YB Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri mendapat reaksi negatif daripada rakyat.

“Pastinya YAB Tun Dr Mahathir Mohamad tahu YB Lim Guan Eng kini menghadapi pertuduhan rasuah dan akan menjalani proses perbicaraan.

“Tidak hairanlah YAB Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ‘u-turn’ mengenai pelantikan Menteri Kewangan apabila tindakannya dipersoalkan oleh rakyat.

“Sementara kami mahu supaya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara dengan baik dan tenteram, kami juga mahu segera memenuhi janji-janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari kerana rakyat sedang memerhati.”

Ujarnya, ini termasuk memberikan autonomi segera kepada negeri Sabah dan Sarawak serta mengotakan janji untuk menambah 15 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

“Pastinya pakar-pakar ekonomi yang telah dilantik akan mampu mencari jalan untuk mengotakan semua janji-janji ini.

“Kami ucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan PH dan berharap mereka bekerja keras untuk memakmurkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.” – MediaUMNO