UMNO Online

Pengurangan Subsidi: Langkah Positif ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi

Pengurangan subsidi minyak yang diumumkan semalam mengundang reaksi ‘panas’ di kalangan rakyat dari semua golongan. Sebahagian dari mereka kelihatannya cuba bersikap rasional dan menerima kenaikan ini sebagai sesuatu yang perlu, dan harus diterima walaupun sedikit kecewa.

Namun, secara umumnya rata-rata rakyat Malaysia masih bersyukur kerana minyak di negara ini masih berada di kadar termurah berbanding jiran-jiran terdekatnya. Setakat ini, harga minyak di Thailand adalah RM4.71, Filipina RM5.85, Singapura RM5.48, Indonesia RM3.08 dan Malaysia RM2.10.

Pengurangan subsidi minyak sebenarnya perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas dan jauh.

Perlu diingatkan bahawa Malaysia kini dalam ‘perlumbaan’ untuk menjadi negara berpendapatan tinggi sedangkan ekonomi dunia hari ini berada di dalam keadaan tidak menentu. Untuk itu, Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan kesan langsung dan tidak langsung dari perkembangan politik global.

Defisit Malaysia yang mencecah RM14 billion dan juga hutang negara yang mencatatkan kadar 53% berbanding GDP telah memaksa kerajaan lebih aktif dalam usaha merancakkan ekonomi.

Salah satunya adalah dengan meningkatkan usaha untuk menarik pelaburan asing.

Untuk itu, persepsi asing terhadap Malaysia amatlah penting. Malangnya, berdasarkan laporan penyelidikan yang dilakukan oleh Fitch Ratings, Malaysia telah mencatatkan pandangan negatif dalam beberapa bulan selepas PRU-13. Laporan yang negatif mampu mempengaruhi persepsi pelabur untuk mengeluarkan pelaburan sedia ada dari negara ini sekali gus menjejaskan peluang negara untuk mendapat pelaburan baru.

Sekiranya ini berlaku, ia pastinya merupakan bencana kepada negara.

Justeru, bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing, kita perlu memulihkan persepsi pelabur dengan meningkatkan kedudukan dalam Fitch Ratings. Ini boleh dicapai dalam kadar segera dengan mengurangkan subsidi untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan mengurangkan defisit.

Tindakan ini bukan sahaja mampu memulihkan persepsi asing pada kadar segera, tetapi juga dijangka membantu memberangsangkan ekonomi dalam jangka panjang, sekali gus membolehkan kerajaan meningkatkan jumlah BR1M kepada rakyat berpendapatan rendah.

Selain peningkatan kadar BR1M, RM1.1 billion yang dapat dijimatkan melalui pengurangan subsidi, akan digunakan untuk projek-projek pembangunan di luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak.

Dari situ, kita turut menjangkakan peningkatan pendapatan di kalangan penduduk luar bandar. Beberapa program lain turut dicadangkan, antaranya, skim insurans untuk golongan berpendapatan rendah.

Secara dasarnya, langkah mengurangkan subsidi ini dilihat sebagai persediaan awal ke arah sebarang kemungkinan dalam menghadapi cabaran global yang semakin genting dan tidak terjangka. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia perlu dipersiapkan dengan sikap dan mentaliti yang sewajarnya bagi meningkatkan daya saing di peringkat individu.

‘Mentaliti subsidi’ perlu dikikis secara perlahan-lahan, namun tidak terlalu perlahan. Oleh yang demikian, masyarakat perlu turut memainkan peranan untuk sama-sama menyertai ‘perlumbaan’ ke arah negara berpendapatan tinggi yang kita idam-idamkan.

isuhot.com