Biro Aduan Awam UMNO Bahagian Kinabatangan Dibentuk, Fokus Selesai Masalah Rakyat

SANDAKAN, 15 Feb – Dalam usaha memastikan tindakan ke atas pengaduan masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat disalurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan, pentadbiran parti khususnya di UMNO Bahagian Kinabatangan telah menubuhkan Biro Pengaduan Awam.

Biro serta jawatankuasa terbabit telah dipengerusikan oleh Awang Basri Osman hasil persetujuan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Awang Basri ketika ditemui selepas mesyuarat pembentukan jawatankuasa terbabit berkata, penubuhan biro ini merupakan antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian Kinabatangan baru-baru ini.

Menurut beliau, biro terbabit khusus kepada aduan-aduan yang diterima terutama yang melibatkan kepentingan rakyat di kawasan Kinabatangan selain berkaitan isu pembangunan dan juga pentadbiran parti.

“Kita akan menerima setiap aduan yang dikemukakan, bagaimanapun aduan yang melibatkan kepentingan umum akan diberikan keutamaan untuk disampaikan kepada pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama biro tersebut di Pejabat UMNO Bahagian Kinabatangan di Sandakan kelmarin.

Menurut Awang Basri sebagai langkah pertama biro terbabit menerima sebarang bentuk aduan secara lisan atau bertulis dan selepas ia diteliti secara mendalam maka ia akan dikemukakan kepada pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan.

“Selain itu kita juga akan menyediakan peti-peti aduan di beberapa lokasi yang dikenal pasti antara jabatan kerajaan, pejabat pos dan lain-lain kawasan yang membabitkan orang ramai untuk mereka boleh memasukkan surat aduan ke dalam peti yang telah disediakan,” katanya.

Tambah Awang Basri, biro itu juga akan berusaha untuk memperkenalkan aplikasi telefon pintar bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai membuat aduan secara terus melalui dalam talian.

“Selain sistem pengurusan aduan awam yang sedia ada dengan bersemuka dan melalui peti aduan, aplikasi terbaharu melalui telefon akan menjadi platform bagi memastikan semua aduan awam dapat diselesaikan dengan cekap, adil dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata aplikasi inovatif itu membolehkan respons nyata terhadap segala isu atau aduan yang disalurkan oleh rakyat.

“Selain aduan, orang ramai dapat juga mengemukakan pertanyaan, cadangan dan penghargaan kepada agensi kerajaan dan kepimpinan tempatan, malah kami akan sampaikan mesej rakyat kepada pihak terbabit,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh : Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.