Kembalikan Semula Hak Dan Keistimewaan Rakyat

Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan oleh kerajaan hari ini seharusnya menimbangkan pengembalian semula hak dan keistimewaan rakyat yang hilang sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara.

Sebagai kerajaan terdahulu, Barisan Nasional telah menyediakan hampir semua keperluan dan kemudahan rakyat, dan malangnya ia dirampas oleh kerajaan sekarang melalui banyak janji manifestonya yang tidak tertunai.

Berikutan taraf hidup yang kian terhimpit oleh dasar-dasar kerajaan baru yang tidak konsisten, rakyat terbelenggu di dalam dilema mencari nafkah secukupnya bagi menampung hak dan keistimewaan yang hilang.

Sejak mengambil alih pemerintahan pada 9 Mei lalu, kerajaan tidak menampakkan usaha untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang boleh menjana pendapatan rakyat. Ini menyebabkan ekonomi negara suram dan dikhuatiri mendorong meningkatkan kegiatan jenayah di semua peringkat.

Kita ingin tahu apakah dasar fiskal yang disusun untuk menghadapi semua keperluan rakyat dan negara.

poPDengan pemberhentian kira-kira 50,000 pekerja di sektor awam dan swasta berikutan ‘dendam’ kerajaan terhadap BN dan kesan langsung pembatalan serta penangguhan banyak projek, ia bukan saja menjerut rakyat malah menakutkan pelabur tempatan dan asing.

Kerajaan secara berterusan mencari silap pemimpin BN. Kerajaan mengheret pemimpin ke muka pengadilan bagi mengalihkan pandangan rakyat terhadap kegagalan mereka menunaikan manifesto.

Pendakwaan terpilih adalah pendekatan politik balas dendam.

Pemansuhan tol, pelupusan hutang peneroka Felda dan PTPTN antaranya, menyaksikan rakyat tergoda mengundi mereka dengan harapan ia dikotakan. Malangnya, janji hanya tinggal janji.

Malah sehingga sekarang, rakyat terus merintih dan menyesal membuat pilihan yang salah pada PRU ke-14 lalu.

Kerajaan terus menggunakan alasan kelembapan ekonomi serantau dan dunia untuk menyokong penyusutan nilai ringgit (RM4.19 berbanding 1 dolar Amerika, yang terendah dalam 11 bulan) dan aliran keluar dana asing dari Bursa Malaysia.

Pentadbir ekonomi kita seharusnya mempunyai pakar yang cukup untuk menyusun strategi penampan terhadap kesan langsung kemerosotan ekonomi dunia, seperti sesetengah negara.

Namun, ini tidak berlaku dan melunturkan niat pelabur asing.

Tetapi mereka lebih mengutamakan slogan ‘Kerajaan BN rasuah’, kononnya pembersihan mesti dilakukan.

Ini semata-mata satu lagi helah untuk mengaburi mata rakyat terhadap salah laku mereka sendiri. Inilah yang dikatakan ‘diversion’ atau pengalihan tumpuan dalam politik.

Bagi pembangkang, Bajet 2019 perlu memulangkan semula hak dan keistimewaan rakyat.

Dengan janji manifesto yang tidak tertunai, Kerajaan PH perlu menawarkan pakej belanjawan yang lebih baik, bukan saja untuk rakyat, malah pelabur asing.

Peningkatan kuasa membeli untuk rakyat, pakej percukaian lebih baik kepada pelabur dan pendekatan makroekonomi bagi merangka pelan perolehan untuk kerajaan, mesti digubal atau Malaysia akan terjerumus ke kancah ekonomi lebih teruk daripada sekarang.

Ini berikutan semakin lemah kedudukan daya saing (competitiveness) Malaysia berbanding beberapa negara serantau dan antarabangsa.

Perlu diingat bahawa BN tidak pernah menyembunyikan fakta perbelanjaan dan aliran tunai serta hutang negara kepada rakyat. BN juga tidak berbuat demikian dengan agensi penarafan antarabangsa. Meskipun BN dituduh menyamun, rakyat lebih selesa daripada sekarang.

Bagaimanapun sekarang, keadaan sudah berbeza. Penutupan banyak industri dan perniagaan daripada kesan cukai SST yang diperkenalkan semula amat terbelakang.

Ini berbanding dengan zaman keselesaan di bawah sistem GST yang diamalkan oleh 162 negara di dunia, mengambil kira aspek kepentingan semua pihak di negara ini.

Adalah menghairankan di sebalik pembohongan kerajaan mengenai kedudukan hutang negara, Bank Negara Malaysia membisu seribu bahasa dan tidak pun memperbetulkan angka PH, sedangkan RM686 bilion itulah yang diiktiraf oleh badan kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Kita tidak mempertikaikan bahawa mereka yang menjaga ekonomi dan kewangan negara masih baru memegang tugas dan kurang pengalaman.

Tetapi ia tidak harus melemahkan pentadbiran ekonomi kerana negara ini mempunyai ramai ahli ekonomi berwibawa untuk membantu mereka. Lainlah, jika mereka memilih hanya kawan rapat sebagai penasihat.

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, rizab antarabangsa kita adalah AS$44 bilion (RM184.3 bilion).

Itu bagi tempoh 22 tahun. Bagaimanapun, tempoh sembilan tahun pemerintahan Datuk Seri Najib Razak menyaksikan lonjakan kepada AS$110 bilion (RM460.9 bilion) setakat April 2018. Ini adalah pertambahan AS$66.7 bilion atau RM276.5 bilion.

Sayangnya, ia merosot kepada AS$102.8 bilion (RM430.7 bilion) pada awal Oktober 2018, iaitu lima bulan selepas kerajaan baru mengambil alih. Ini memaparkan negara kehilangan AS$7.2 bilion atau RM30.1 bilion.

Sebagai perbandingan, kerajaan manakah yang lebih cekap menguruskan kewangan negara?

Rakyat tidak harus berterusan digula-gulakan. Rakyat bukan mahu cerita dongeng tetapi jalan penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup.

Harga komoditi merudum dan kenaikan harga minyak menghimpit kehidupan mereka. Apa yang mahu mereka buat untuk menyara keluarga selepas dibuang kerja?

Isu kos sara hidup rakyat ini perlu ditangani segera. Petani, nelayan, penoreh getah, pemandu teksi dan pelajar tidak patut dibebankan dengan permainan serupa ini.

Isu keperluan harian (bread and butter) perlu diberi tumpuan khusus dalam belanjawan kali ini.

Pastinya rakyat tidak mahu melihat sandiwara terus terpancar dalam belanjawan kali ini dengan pemotongan gaji Pak Menteri, pemberian cokelat tawar dan pengumuman pengisytiharan harta untuk menunjukkan mereka ‘bersih suci’.

Bukan juga legasi jambatan bengkok, projek kereta nasional ketiga atau projek mega lain yang mereka inginkan. Ia tidak langsung membantu rakyat.

Apa yang rakyat mahu dapur mereka berasap dan makan-pakai yang cukup untuk keluarga.

Masalahnya sekarang, PH masih berfikir secara pembangkang sedangkan BN yang pernah memerintah 61 tahun, terus memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat.

Melayu dan Bumiputera makin terkesan dengan tindakan kerajaan membatalkan projek-projek yang dimeterai di zaman BN. Tender semula bertujuan melemahkan mereka apabila bayaran sengaja dilewat-lewatkan.

Ini memaksa usahawan Melayu gulung tikar kerana mereka tidak akan mampu melaksanakan projek yang dicantas dan dijadualkan semula. Akhirnya, taktik untuk menyerahkannya kepada kroni bukan Melayu akan tercapai.

Sejauh manakah kerajaan mengambil kira ini semua?

Apakah kerajaan tidak peduli dengan mereka yang dipecat, hilang kerja, kurangnya pelancong ke sini dan meningkatnya aliran keluar dana asing dari bursa tempatan?

Berapa lamakah pendekatan berbohong sekarang akan diteruskan? Apakah dasar terbaik untuk menarik pelaburan asing ke negara ini dan melonjakkan semula pasaran saham?

Selasa lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ada menyebut mengenai rang undang-undang bagi menyekat perbuatan mengkhianati ekonomi negara.

Pembangkang ingin bertanya, siapakah yang memulakan ‘economy sabotage’ dahulu? Bukankah mereka yang di dalam kerajaan sekarang mencanangkan sedunia betapa Malaysia adalah ‘a failed state’, akan bankrap dan dipenuhi rasuah?

Bukankah mereka juga yang memburukkan negara dan menghasut pelabur asing agar jangan menanam modal di Malaysia? Ini seperti perbuatan meludah ke langit.

Hasilnya, inilah yang mereka perolehi sekarang, dan rakyatlah yang memikul kesan buruknya apabila peluang kerja hampir tiada, meningkatnya pengangguran dan kuasa membeli yang berkurangan berikutan penyusutan nilai ringgit dan terhadnya pengimportan barang asing bagi barangan keperluan.

Kempen buruk mereka amat berhasil. Keengganan mengiktiraf hasil kajian agensi penarafan asing seperti Moody, Fitch, Standard & Poor serta Bank Dunia dan IMF makin meminggirkan negara.

Apa lagi dengan kenyataan pengurus aset terbesar United Kingdom dan antara yang paling berpengaruh di dunia, iaitu Amundi, bahawa Malaysia antara beberapa negara yang tidak wajar diberi pinjaman kerana ketidakmampuannya membayar hutang.

Ini menyebabkan Jepun dan negara peminjam dunia berfikir dua tiga kali untuk membantu Malaysia kerana ia adalah ‘a failed state’ dan bankrap. Itulah gambaran mengenai Malaysia ketika ini.

Selanjutnya, apa hasil yang dibawa pulang oleh perdana menteri, menteri kewangan dan pegawai-pegawai tingginya dalam lawatan ke luar negara?

Berapa banyakkah pelabur asing yang berani menanam modal di sini? Ada pelabur yang dikatakan akan ke Malaysia, sebaliknya mereka memutus membesarkan pelaburan di negara jiran.

Oleh itu, dimanakah kedudukan Malaysia di dalam peta ekonomi dunia sekarang?

Apa pula penjelasan matematik (mathematical explanation) kerajaan untuk menyokong kenyataannya bahawa projek HSR boleh dibangunkan dengan kos RM10 bilion dan LRT/MRT serta projek lain yang dikurangkan kosnya?

Pembangkang dan rakyat perlu tahu formula apa yang digunapakai oleh kerajaan. Biarlah ia telus seperti kutipan Tabung Harapan Malaysia yang cuma mampu mengutip RM 200 juta ketika ini.

Hutang apakah yang boleh dilunaskan dengan jumlah itu? Ia adalah wang rakyat, dan mereka berhak tahu ke mana wang itu dibelanjakan.

Ia juga sama dengan RM19 bilion pulangan balik GST yang ‘digelapkan’ kerajaan, yang sebelum ini menuduh BN yang melakukannya.

Apakah Belanjawan Kerajaan PH yang pertama hari ini sekadar menanam tebu di bibir atau meneruskan permainan menyalahkan orang lain?

Apakah mereka ada formula terbaik untuk memperbaiki kesilapan mereka selama enam bulan atau terus memperdayakan rakyat?

Seperti kata Presiden Abraham Lincoln “You can fool all the people some of the time and some of the people all the time, but you cannot fool all the people, all the time”. (Kamu boleh menipu semua orang pada sebahagian masa atau sebahagian orang pada setiap masa. Tetapi kamu tidak boleh menipu setiap orang pada setiap masa”.

Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.