Tiada Angka RM1 Trillion Dalam Laporan RMK-11 : Najib

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata enam tonggak kajian yang terdapat dalam laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) semuanya adalah diusahakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, dokumen yang dibentangkan Perdana Menteri itu bukanlah satu dokumen yang baru sebaliknya adalah kesinambungan terhadap inisiatif  yang digerakkan oleh BN sebelum ini.

“Saya boleh terima dokumen ini dengan bersyarat  bahawa bila saya tengok dokumen ini enam tonggak kajian separuh penggal RMK-11 semuanya telah diusahakan oleh kerajaan BN.

“Tetapi tidak kesampaian sebab ‘work in progres’. Dia tidak akan sampai ke penamatnya dalam masa yang singkat. Memerlukan masa tetapi semua inisatif-inisiatif ini telah pun dimulakan oleh kerajaan BN”, katanya.

Justeru jelas beliau dokumen ini bukanlah baru, tapi adalah kesinambungan apa yang kerajaan BN telah lakukan.

“Ini termasuk juga dari segi urus tadbir. Sebab saya masih ingat lagi tahun 2010 dan 2011 kerajaan mencadangkan sistem dana politik yang telus tetapi ditolak oleh pembangkang.

“Masa itu kita nak simpankan dalam rekod yang sistematik supaya tidak ada rasuah, penyelewengan  kuasa dan sebagainya tetapi telah ditolak. Jadi hari ini ada cadangan baru pula. Kita nak tengok apa cadangan baharu ini tetapi prinsipnya telah dimulakan oleh kerajaan BN tetapi telah ditolak oleh pembangkang pada masa itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK11 di Dewan Rakyat, Selasa.

Najib seterusnya menambah laporan itu mengesahkan bahawa nisbah hutang kepada KDNK menyusut kepada 50.8 peratus dan  bukannya naik malah di dalam dokumen berkenaan tidak terdapat angka  RM1 trilion.

“Laporan ini juga mengesahkan bahawa nisbah hutang kepada KDNK menyusut kepada 50.8 peratus. Menyusut, bukannya naik. Atau RM686 bilion pada akhir 2017. Tiada angka RM1 trilion, dalam dokumen ini tidak ada angka RM1 trilion.

“Saya nak sebut di sini, antara sebab saya boleh sokong dokumen ini dengan bersyarat. Pertama, bahagian pertama dalam dokumen ini, menyatakan bahawa kadar pertumbuhan negara 2016 mencapai 4.2 peratus, pada tahun 2017 5.9 peratus.

“Ini disahkan oleh dokumen ini. Dan seperkara lagi, bahawa ramai tak tahu dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini iaitu 2011-2017, kadar pertumbuhan Malaysia mengatasi ekonomi empat harimau ekonomi di asia ini. Ini lebih tinggi daripada Korea, lebih tinggi daripada Taiwan, lebih tinggi daripada Singapura dan lebih tinggi daripada Hong Kong.

“Dan jika sekiranya ada pihak yang memomokkan bahawa kita ini berada di ambang negara muflis, bankrap, rakyat susah, ia dinafikan dengan fakta hakikat sebenarnya,“ jelas beliau.-MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.