Pemimpin PH Perlu Cermin Diri, Janganlah Cepat Melatah – Din Adam


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) disaran cermin diri dan tidak cepat melatah dengan melontarkan pelbagai pandangan sinis terhadap pemandu teksi gara-gara peristiwa yang berlaku di Langkawi baru-baru ini berhubung ketidakpuasan hati golongan tersebut terhadap langkah kerajaan dalam usaha membela nasib mereka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam berkata pimpinan PH perlu menilai dan melihat kembali sikap ‘tidak manis’ dan kadangkala di luar jangkaan sewaktu mereka berada di dalam pembangkang dan ketika Barisan Nasional (BN) menunjangi kerajaan sebelum ini.

Menurut beliau sebagai contoh di dalam ceramah-ceramah yang diadakan, pelbagai tohmahan dilontarkan kepada pimpinan kerajaan ketika itu khususnya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak serta pimpinan kerajaan lain.

“Jadi janganlah pelik dan janganlah pula seolah-olah tindak-tanduk sedemikian rupa hari ini dibalas dengan pelbagai kata-kata dan sebagainya. Kita pun tidak setuju dengan tindak-tanduk yang tidak sepatutnya.

“Namun yang menjadi peliknya adalah boleh pula pemimpin PH bercakap soal adab dan sebagainya. Apakah mereka layak untuk bercakap sedemikian rupa sedangkan sebelum ini gaya dan rentak mereka kadangkala tidak lebih daripada itu,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontoversi yang berlaku di Langkawi Ahad lalu apabila dilaporkan segelintir pemandu teksi tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ‘e-hailing’.

Din Adam seterusnya menambah apa yang diperkatakan oleh pemandu teksi hari ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tekanan dan sebagainya sebaliknya kerajaan yang telah dibentuk perlu mencari jalan penyelesaian tuntas sepertimana yang mereka janjikan.

Katanya janganlah pula mencari salah pemandu dan pengusaha teksi kerana mereka mahu mendapat kepastian dan juga ingin mendapatkan penjelasan yang sebenarnya.

“Jadi apabila terkena batang hidung sendiri janganlah pula menyalahkan itu dan ini sebaliknya jalan terus ke depan. Janganlah pula seolah-olah ‘maksum’ apabila melihat tindakan pemandu teksi yang hanya menuntut apa yang sewajarnya,” katanya lagi.

Sesi dialog bersama Dr Mahathir yang dihadiri hampir 200 pemandu teksi di Langkawi menjadi kecoh selain terdapat kata-kata kesat yang keluar dari khalayak selepas mereka mendakwa pendapatan terjejas ekoran perkhidmatan grab yang dikatakan ‘mencuri’ pelanggan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.