Guan Eng Perlu Muhasabah Diri, Dulu Sampai Menangis Minta Bantuan Pusat

KOTA BHARU 23 Okt. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu bermuhasabah diri dan jangan cepat lupa daratan kerana sewaktu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu beliau juga mengharapkan bantuan daripada kerajaan Pusat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Guan Eng juga perlu memahami asas ‘federalism’ iaitu tanggungjawab kerajaan Pusat yang perlu membantu mana-mana negeri yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, ini kerana setiap kerajaan negeri juga menyumbang kepada kerajaan Persekutuan melalui pelbagai hasil kutipan cukai dan lesen yang dilakukan.

“Masa banjir di Pulau Pinang dahulu, beliau (Guan Eng) sampai menangis hubungi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (bekas Timbalan Perdana Menteri), kita (Kelantan) tidaklah sampai menangis hendak minta bantuan daripada kerajaan Pusat.

“Jadi, kalau hendak menuding jari pada Kelantan sahaja adalah satu perkara yang tidak patut berlaku dan bagi saya ada niat jahat di sebalik kenyataan itu. Ini kerana, kalau kita lihat laporan Majlis Kewangan Negara, semua negeri menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat sampai mencecah ratusan juta,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Guan Eng di Dewan Rakyat semalam bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan awam di negeri ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, Kerajaan Persekutuan masih berhutang dengan Kerajaan Pas Kelantan berhubung pembayaran wang royalti minyak yang mencecah RM700 juta setahun.

“Walaupun kita mengaku kerajaan Pusat ada memberi bantuan, tetapi kena ingat duit kita masih ada pada Pusat iaitu royalti minyak yang tidak kurang daripada RM700 juta setahun.

“Jadi, kalau kerajaan Persekutuan boleh memberi wang royalti mengikut perjanjian dan jumlah sebenar, tidak berbangkit soal kerajaan negeri perlukan bantuan daripada kerajaan Pusat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.