Kerajaan PH Gagal Tunjukkan Satu Budaya Baru Dalam Sistem Politik Negara


KUALA LUMPUR, 22 Okt – Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah gagal menunjukkan satu budaya baru dalam sistem politik negara ke arah sistem dua parti.

Jelas beliau, peralihan kuasa telah berjalan dalam suasana yang aman, baik dan beradab tetapi PH tidak menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat sebaliknya memotong hampir semua peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

“Apa yang paling pentingnya adalah PH gagal untuk menunjukkan satu budaya baru dalam sistem politik negara ke arah sistem dua parti.

“Mereka mewar-warkan Malaysia Baru, tapi dalam bentuk budaya yang tidak begitu baik bagi sebuah negara moden seperti Malaysia yang mengamalkan demokrasi Raja Berperlembagaan dengan memotong peruntukan-peruntukan yang ada hubung kaitnya dengan kesejahteraan rakyat seperti membina jalan, surau, rumah ibadat, masjid dan sebagainya,” ujar beliau ketika mewakili Ketua Pembangkang bagi membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Hasan, kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu juga adalah disebabkan oleh manifestonya yang tidak masuk masuk akal tetapi sayangnya rakyat telah mempercayai janji-janji tersebut.

Justeru itu beliau menegaskan bahawa perkara itu adalah lebih dahsyat daripada politik wang.

“Jadi kerajaan yang wujud hari ini adalah kerajaan yang mengelirukan rakyat. Rakyat keliru apakah dasar ini akan dilaksanakan atau tidak. Adakah manifesto itu akan dilaksanakan atau tidak,” katanya.

Sebelum itu Hasan melahirkan sokongan agar Parlimen haruslah dibubarkan selepas dua tahun Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri.

Ulas beliau, ini adalah bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan untuk memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan sebenar dan tepat serta parti menyediakan manifesto yang betul.

Justeru, beliau menyokong usaha Dr Mahathir untuk melakukan reformasi Parlimen dan juga institusi-institusi pelaksana di negara ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.