Hishammuddin Konsisten Bantu Selesai Isu Berkaitan 1MDB

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara peribadi akan membantu mencari ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau akan menggunakan hubungannya sebelum ini dengan pemimpin-pemimpin China untuk mencari Jho Low sekali gus membawanya pulang bagi berdepan muka pengadilan.

“Jika Jho Low berada di China, secara peribadi saya akan ke sana untuk mencari dan membawa beliau balik dan ke muka pengadilan.

“Kalau beliau masih lagi berada di luar negara saya rasa kes 1MDB ini tidak akan selesai. Ini tiada kaitan dengan permintaan Putrajaya, saya masih ada hubungan dengan pimpinan negara China, jika benar Jho Low ada di china, saya nak pastikan bahawa beliau dikembalikan untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Tambah Hishammuddin, beliau konsisten dalam isu 1MDB iaitu mahu mencari kebenaran mengenainya.

“Jika Jho Low seseorang yang perlu kita bawa ke muka pengadilan, kalau saya boleh bantu, saya akan lakukannya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.