Guan Eng Didesak Mohon Maaf, Hina Negeri Pantai Timur Untuk Teruskan Projek Demi Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Menteri Kewangan Lim Guan Eng ditempelak hari ini lantaran menghina negeri-negeri Pantai Timur hanya kerana memohon pinjaman daripada kerajaan pusat untuk meneruskan projek pembangunan yang memberi kepentingan kepada rakyat.

Justeru, Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan memohon Guan Eng untuk menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat sekaligus membuat permohonan maaf.

“Sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, mereka juga memberi pinjaman kepada negeri-negeri Pantai Timur tetapi tidak pernah menghina negeri tersebut seperti yang dilakukan oleh kerajaan PH hari ini. Sudah menjadi perkara biasa sekiranya kerajaan negeri meminjam wang daripada kerajaan pusat. Mana ada kerajaan Negeri yang tidak meminjam kepada kerajaan Pusat?

“Menteri telah berkata mana mungkin kami (negeri Pantai Timur) ini meneruskan projek tersebut kerana nak bayar gaji kakitangan awam tidak mampu.

“Kenyataan itu jelas dalam peraturan 36(12) telah mengelirukan Dewan dan secara tidak langsung mengelirukan ahli di dalam dewan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Tambah Takiyuddin, sekiranya Guan Eng tidak menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf maka mereka akan mengambil langkah agar usul dibuat untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Semua orang dengar (kenyataan itu). Ini bukan penghinaan kepada kerajaan negeri sahaja, tetapi juga kepada rakyat negeri tersebut,” katanya yang turut berkata Kelantan pernah mendapat pengiktirafan Jabatan Audit Negara dalam aspek pengurusan kewangan.

Guan Eng sebelum ini berkata di dalam Dewan Rakyat, ketiga-tiga negeri itu tidak mampu untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri, tanpa bantuan kerajaan Pusat.

Sidang media itu turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen BN terdiri daripada Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Turut serta Ahli Parlimen Kubang Kerian,Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, Takiyuddin sewaktu mengajukan soalan tambahan ketika sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan ingin tahu adakah negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu boleh meneruskan projek ECRL dengan inisiatif sendiri.

Namun demikian, Guan Eng mempertikaikan kemampuan Kerajaan Negeri mengambil alih projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) daripada kendalian Kerajaan Persekutuan.

Katanya, ini kerana Kerajaan Negeri itu sendiri masih memerlukan bantuan kewangan daripada Kerajaan Pusat malah tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya tanpa suntikan dana dari Putrajaya.

Bantuan kewangan ini bukanlah satu perkara baharu dan ia telah bermula sejak zaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.