Kos Kesihatan Bakal Meningkat, Rakyat Terbeban Jika Aset Hospital Kerajaan Diapungkan – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 17 Okt – Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengapungkan aset bangunan hospital Kerajaan melalui kaedah Pelaburan Amanah Hartanah Real Estate Investment Trust (REIT) patuh syariah bagi memperoleh dana tambahan sebanyak RM3 bilion untuk tahun 2019 amat membimbangkan dan memerlukan kajian lebih teliti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru kementerian terbabit yang diterajui menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agar memperhalusi terlebih dahulu rancangan tersebut.

“Saya menyeru YB Menteri KKM untuk tidak tergesa-gesa meneruskan inisiatif REIT yang bakal menambah beban rakyat yang kini sudahpun dibebani dengan pelbagai kos sara hidup yang terus meningkat dengan dasar penjimatan Kerajaan Malaysia Baharu setelah memberhentikan pelbagai skim bantuan sara hidup yang diperkenalkan kerajaan terdahulu,” katanya menerusi tulisan dalam laman facebooknya hari ini.

Terdahulu, Menteri KKM di dalam satu temubual bersama media menyebut beliau telah membentang dua cadangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan diterima baik serta akan dimajukan kepada Kementerian Kewangan (MoF) bagi diperhalusi untuk diluluskan secara bersama oleh Jemaah Menteri.

“Selaku bekas pengamal Kewangan Islam, saya mengakui kaedah REIT patuh syariah atau Islamic REIT ini sudah lama digunapakai oleh sektor swasta,” katanya yang meminta merujuk artikel beliau mengenainya di laman sesawang dan buku beliau ‘Fundamentals of Islamic Finance’.

Katanya, model Islamic REIT bagi sektor kesihatan ini juga pernah diaplikasi oleh Kumpulan Perubatan KPJ melalui Al-‘Aqar Islamic REITnya.

“Namun begitu, aplikasi REIT bagi hospital Kerajaan haruslah diperhalusi secara mendalam.”

Jelasnya, berdasarkan amalan biasa, pelabur-pelabur akan membeli unit-unit amanah REIT ini dimana jumlah dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membiayai pembelian dan pengambil-alihan bangunan-bangunan yang merupakan aset hartanah yang dijadikan unit amanah saham (unitisation / monetisation), kemudian REIT mengenakan caj sewa bangunan berkenaan kepada penyewa dan bayaran sewa yang dikutip akan diagihkan kepada pelabur-pelabur atau pemegang amanah saham REIT dalam bentuk dividen.

“Di dalam kes KKM, KKM akan menjual aset-aset terdiri daripada bangunan hospital kerajaan kepada REIT dan memperoleh dana ‘lump sump’ sebanyak RM3 bilion. KKM kemudiannya menyewa kembali aset bangunan hospital dari REIT untuk operasi hospital Kerajaan dan membuat bayaran sewa kepada REIT sepanjang aset bangunan tersebut diapungkan.

“Ini bermakna Kerajaan melalui KKM harus menyerap beban pembayaran sewa kepada REIT sebagai kos operasi atau memindahkan kos ini kepada pengguna hospital Kerajaan iaitu Rakyat selaku pengguna perkhidmatan.”

Sehubungan itu, bagi memperhalusi secara mendalam rancangan REIT tersebut, beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit menawarkan untuk membantu KKM.

“Saya menawarkan diri untuk turut sama membantu tanpa sebarang imbuhan dan bayaran bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara dan apa jua model REIT yang hendak diperkenalkan tidak akan sesekali menambah beban kepada rakyat jelata yang pastinya mengharapkan perkhidmatan kesihatan Kerajaan yang terbaik dan pada kos yang paling minima,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.