Zuraida Dapat Ucapan ‘Tahniah’, Berani Teruskan Inisiatif Kerajaan Dahulu Tanpa Batal Atau Tangguh

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin hari ini mendapat ‘pujian’ daripada Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohd Sadique kerana meneruskan usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Menurut beliau menteri-menteri lain seharusnya menjadikan contoh apa yang dilakukan oleh Menteri KPKT berkenaan dan bukannya mengambil sikap sebaliknya seperti membatalkan atau menangguhkan inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu.

“Tahniah kepada YB Menteri kerana bukan semua menteri boleh buat macam Menteri KPKT kerana ada menteri apabila ada usaha permulaannya diusahakan dan dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu, kebanyakan menteri dia batalkan…, tangguhkan.

“Tetapi Menteri KPKT ini meneruskan kesinambungan usaha yang telah pun dimulakan oleh mantan menteri daripada Tanjong Karang. Jadi saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah.

“Saya harap semua menteri ikutlah contoh yang telah ditunjukkan Menteri KPKT ini. Ini bukan kempen…, kalau menterinya bagus kita akan sokong segala usaha yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2018 di Dewan Rakyat, Selasa.

Halimah membangkitkan soalan berkenaan perakuan pemeriksaaan bertauliah untuk dilihat oleh menteri berkenaan seiring dengan pindaan RUU berkenaan.

“Adakah pemaju yang bertanggungjawab untuk mendapatkan perakuan pemeriksaaan bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia walaupun mereka telah melantik juruperunding atau PBT yang bertanggungjawab telah menyediakan laporan daripada pemeriksa bertauliah.

“Ini adalah kerana pemaju dah melantik dan membayar juruperunding bertauliah dan jika pemaju juga perlu mendapatkan laporan daripada pemeriksa bertauliah ini, maka kos itu akan menjadi kos berganda dan akhirnya menyebabkan kos pembangunan itu diletakkan kepada pembeli. Jadi mungkin menteri boleh melihat kepada perkara itu tentang tindakan yang akan dilakukan dengan pindaan RUU ini,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.