Beri Tiga Bulan ‘Tax Holiday’ Negara Hilang RM11 Bilion.. Itu Tindakan Bodoh Kerajaan PH – Ahmad


KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, luahan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah tentang kementeriannya kekurangan bajet sebanyak RM113 juta sehinggakan ada rumah petugas kedutaan yang disaman di Paris, adalah berpunca daripada tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang membatalkan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tiga bulan lebih awal sebelum memulakan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurut beliau, pendedahan yang dibuat oleh Menteri Luar itu jelas memperlihatkan kesilapan tindakan kerajaan yang memberikan tiga bulan cukai percuma di mana ia telah menyebabkan negara hilang berbilion ringgit dalam tempoh tersebut.

“Kalau pun mereka mahu melaksanakan SST pada 1 September yang lalu, mengapa mereka membatalkan kutipan GST pada 1 Jun? Apakah bodohnya tindakan itu? Sepanjang bulan Jun, Julai dan Ogos negara tidak ada pendapatan apabila tidak ada cukai yang dikutip.

“Sebulan kutipan GST mencecah RM3.44 bilion jika didarab dengan tiga bulan, jumlahnya mencecah sebanyak 11 Bilion (RM)! Itu sebablah kementerian luar tidak ada duit. Ini juga merupakan punca pembatalan projek-projek yang lain.

“Kemudian beritahu rakyat, pembatalan projek, potongan bajet itu adalah disebabkan hutang. Apa ke bendanya alasan itu? Tidak ada kena-mengena pembatalan projek itu dengan hutang negara. Ini adalah salah mereka sendiri kerana menghentikan kutipan GST selama tiga bulan sebelum digantikan dengan cukai SST,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi Dari Parlimen yang disiarkan secara langsung melalui mediaum facebook rasmi UMNO-Online.

Tambah beliau lagi, ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu melaksanakan GST sebelum ini, kerajaan BN tidak memberikan sebarang ‘tax holiday’ sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan PH hari ini.

“Kita batalkan SST pada 1 April 2015, dan kita mulakan kutipan GST pada tarikah yang sama juga. Itu tindakan kerajaan yang bijak. Tetapi tidak seperti PH, mereka batalkan GST pada 1 Jun, mereka mula kutip SST pada 1 September, yang telah menyebabkan kerajaan hilang pendapatan sebanyak RM11 bilion.

“Kerajaan PH fikir tindakan mereka itu bijak, namun apa yang berlaku hari ini jelas memperlihatkan bahawa tindakan mereka memberikan tiga bulan ‘tax holiday’ itu adalah satu keputusan yang tergesa-gesa dan bodoh, sehingga menyebabkan kerajaan hilang begitu banyak pendapatan yang boleh menampung pelbagai perkara, termasuklah bajet untuk kementerian luar dan projek-projek lain yang dibatalkan itu,” ujarnya.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.