Usul Saifuddin Abdullah Menghina Negara

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Terdiam wakil-wakil rakyat kerajaan apabila menteri mereka dibidas dan ‘disekolahkan’ oleh Datuk Seri Anifah Aman (Bebas-Kimanis) ketika membahaskan isu dasar luar Malaysia baharu.

Tiada seorang pun ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dilihat berani bangun dan mencelah pada awal perbahasan Anifah yang menyasarkan kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin sebelum itu mencadangkan usul supaya ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) sesi ke-73 di New York, Amerika Syarikat pada bulan lalu dijadikan sebagai kerangka asas dasar luar negara.

Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar selama dua penggal pada era kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan nada sinis menyifatkan pembentangan usul Saifuddin itu sebagai ‘menghina’ Malaysia.

Bukan itu sahaja, Anifah turut menyifatkan cadangan dibangkitkan oleh Saifuddin untuk menjadikan ucapan Dr. Mahathir sebagai dasar hanya layak dikemukakan kepada pelajar di bangku sekolah dan bukannya di Dewan Rakyat.

“Saya agak terkilan. Yang Berhormat seolah-olah menghina Malaysia walaupun kerajaan baharu, seolah-olah kita tidak pernah ada dasar luar, tidak suarakan apa-apa di peringkat antarabangsa sebelum ini.

“Memang kebiasaan kalau tukar menteri baharu atau kerajaan, akan ada cadangan, saya tidak nafikan itu tetapi tidak boleh kata kita tidak pernah ada dasar. Saya nasihatkan sebelum berucap, Yang Berhormat kaji dan belajar dulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.