SJKC Diberi Peruntukan, Naik Taraf Sekolah Agama Ditangguh?


PULAU PINANG 15 Okt. – UMNO Pulau Pinang melahirkan rasa terkejut dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk membina sebuah lagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) di Bandar Cassia, Batu Kawan di sini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, cadangan itu disuarakan ketika peruntukan untuk menambah baik masjid dan kelas agama di negeri ini yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini ditangguhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, UMNO tidak menghalang pembinaan sekolah kerana kepentingannya untuk generasi masa depan, namun kerajaan PH perlu berlaku adil dalam pembahagian peruntukan untuk semua kaum.

“Sebelum ini kita diuar-uarkan kononnya kerajaan PH berdepan kekangan kewangan sehingga menarik balik bantuan di bawah peruntukan khas untuk membaik pulih dan menaik taraf masjid, surau dan kelas agama di negeri ini.

“Tetapi mengapa peruntukan untuk membina SKJC baharu serta menaik taraf sekolah berkenaan yang menelan perbelanjaan puluhan juta ringgit dapat diluluskan?” katanya di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching membayangkan Bandar Acasia, Batu Kawan di sini memerlukan sebuah SJKC baharu berikutan pertambahan bilangan penduduknya yang mencecah 250,000 orang.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan yang telah diluluskan kepada beberapa buah SKJC antaranya di SKJC Kay Sin membabitkan RM13 juta dan SJKC Permatang Tinggi (RM10 juta) bagi pembinaan tambahan bilik darjah serta blok baharu.

Sebelum ini, beberapa pihak melahirkan rasa kesal selepas kerajaan PH menangguhkan peruntukan bagi sembilan projek naik taraf masjid, surau, sekolah agama rakyat dan kelas agama di negeri ini yang sudah diluluskan menerusi peruntukan khas kerajaan BN. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.