Kerajaan PH Masih Terus Salahkan BN Dalam Sesi Kedua Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Sesi Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ke-14 hari ini menyaksikan sikap kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang masih terus-terusan menyalahkan kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam menjawab persoalan yang diajukan.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membidas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih lagi menyalahkan BN ketika menjawab persoalan berhubung masalah dalaman yang dihadapi oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Sesi kali ini, tak perlulah kita berbahas cara itu lagi. Malulah sikit dekat Datuk Seri Anwar Ibrahim… bakal Perdana Menteri… elok-elok… apa dibangkitkan soal itu lagi (salahkan BN),” ujar beliau.

Tajuddin sebelum itu bertanya adakah kerajaan PH mempunyai pendekatan baru untuk mempelbagaikan sumber pendapat peneroka FELDA, selain bergantung harap kepada hasil sawit sahaja.

“Kerugian yang dialami bukan masalah perniagaan tapi masalah pengurusan. Kalau pengurusan elok, cekap, tiada masalah untuk FELDA terokai apa juga perniagaan,” ujarnya lagi.

Azmin ketika menjelaskan berkata, kerajaan PH telah mengambil ketetapan untuk meletakkan pengurusan FELDA yang baharu bermula Julai 2018 setelah pihak pengurusan di agensi itu tidak cekap dan profesional.

“Kami telah mengambil ketetapan untuk meletakkan pengurusan baru, tapi masalah yang dihadapi oleh kita ialah mewarisi legasi UMNO dan BN, yang apabila diberi amanah, mereka curang… lakukan rasuah dan penyelewengan,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.